AM > BERITA

Zurich Tagnia Jalankan Ujian Aliran Tol Tanpa Sekatan Di Lebuh Raya WISE

23/09/2024 12:40 PM

KUALA KANGSAR, 23 Sept (Bernama) -- Syarikat penyedia kejuruteraan teknologi maklumat lebuh raya Zurich Tagnia Sdn Bhd (Zurich Tagnia) telah melakukan ujian pembuktian konsep (POC) bagi sistem tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau 'Multi Lane Fast Flow' (MLFF) yang bakal digunakan di Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE). 

Pengarahnya Muhamad Abd Karim Ismail berkata POC untuk sistem MLFF telah dipasang di susur masuk Jerlun Interchange di Jalan Kuala Kangsar dan pengumpulan data dilakukan sejak Februari lepas.

Beliau berkata POC MLFF itu turut menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kamera Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) iaitu hasil ujian menunjukkan 99 peratus pengesanan adalah tepat. 

"Pelaksanaan POC ini melalui struktur gantri MLFF berskala sebenar bertujuan menguji dan menentusahkan kecekapan sistem bahagian depan (front-end) gantri MLFF sebelum ia dilaksanakan di WISE sepertimana yang ditetapkan dalam operasi lebuh raya kelak.

"Ujian terbabit telah dilakukan pada waktu siang dan malam malah beroperasi 24 jam seperti keadaan sebenar dan kita mahu mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF kelak," katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Muhamad Abd Karim berkata POC MLFF di Jerlun Interchange berjaya mengesan purata lebih 4,652 kenderaan melalui tapak ujian setiap hari.

"Terdapat dua tiang kamera yang dilengkapi kamera berteknologi tinggi untuk mengambil setiap sudut kenderaan dan tiang kamera kedua pula yang diletakkan 100 meter di hadapan akan menentukan spesifik kelas kenderaan yang melintas.

"Sebagai pemain teknologi kita yakin sistem MLFF yang dijangka akan digunakan di WiSE sejauh 60 kilometer bakal memberikan satu pengalaman baharu kepada pengguna apabila ia dijangka siap sepenuhnya pada 2028," katanya. 

Beliau berkata sistem MLFF itu selaras dengan usaha berterusan kerajaan menambah baik infrastruktur pengangkutan dan memastikan aliran trafik lebih lancar serta kurang kesesakan.

"Setakat ini pihak kami antara yang terawal mengadakan ujian ini dan kita menggunakan kepakaran teknologi antarabangsa daripada Jerman namun yang mengendalikan sistem adalah anak tempatan," katanya sambil menambah data yang dikumpulkan daripada ujian POC akan diberikan kepada pihak berkuasa dan berkepentingan.

MLFF menyediakan pengalaman tol lebuh raya tanpa palang dan bayaran tol akan dikutip secara elektronik tanpa memerlukan halangan atau rumah tol seperti sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) di Singapura. 

WISE sepanjang 60 kilometer bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan