AM > BERITA

UniSZA Sedia Bantuan Awal Kepada Pelajar Miskin

23/09/2024 02:28 PM

KUALA NERUS, 23 Sept (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal kepada dua pelajar miskin yang berjaya menyambung pelajaran di universiti itu.

Mereka ialah Mohamad Zahis Zahari, 19, dari Bachok, Kelantan yang ditawarkan mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Nur Safuwanah Mohd, 20, dari Kampung Lapan Kotak, Besut yang bakal menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata bantuan berbentuk wang tunai RM500 dan komputer riba itu bagi memastikan dua pelajar cemerlang tersebut tidak tercicir dalam pelajaran meskipun mereka merupakan anak yatim dan memiliki adik-beradik yang ramai.

"Kedua-dua pelajar ini akan mendaftar sebagai pelajar baharu Ahad depan tetapi tidak mampu membuat persiapan kerana kesempitan hidup.

"UniSZA akan mengambil inisiatif untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada peluang pelajaran. Selain bantuan awal UniSZA turut menyalurkan pelbagai jenis sumbangan lain termasuk zakat, bakul makanan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zahis berkata pada mulanya dia terkejut apabila menerima kunjungan pihak pengurusan UniSZA yang prihatin dengan kesusahan keluarganya.

Pemuda itu berkata selepas kehilangan bapanya akibat kanser hati tahun lepas, keluarganya terpaksa bergantung kepada pendapatan ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Sebelum ini saya memang runsing memikirkan mana nak cari duit untuk bayar yuran untuk daftar. Apatah lagi nak membeli barang keperluan lain.

"Tetapi Alhamdulillah bantuan yang diterima ini dapat membantu saya melengkapkan keperluan. Lebih-lebih lagi bantuan komputer riba yang amat penting untuk tujuan pembelajaran tetapi amat mahal harganya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan