AM > BERITA

Kembalikan UPSR, PT3 Perlu Pendekatan Holistik, Anak-anak Bukan Tikus Makmal - Fadhlina

23/09/2024 02:40 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Keputusan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dibuat secara holistik dan tidak boleh dilihat dari satu aspek sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata buat masa ini Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

“Anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada. Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KPM di sini, hari ini. 

Beliau mengulas desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 yang dimansuhkan pada 2022 atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid dan mendakwa ketiadaan peperiksaan itu telah menyumbang kepada keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Fadhlina berkata kementerian juga kini menumpukan pada pendekatan baharu kurikukum persekolahan 2027 dan dalam proses merangka pelan pembangunan pendidikan baharu bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun bermula 2026.

Sementara itu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihak kementerian proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu keciciran murid dalam SPM dan mengenal pasti tiga faktor utama iaitu berhenti sekolah, buang sekolah dan telah bekerja.

“Walaupun jumlah ketidakhadiran murid dalam peperiksaan SPM berjaya dikurangkan kepada 10,160 pada tahun 2023 berbanding 14,858 pada tahun sebelumnya (pengurangan 1.2 peratus), KPM komited untuk terus menggandakan usaha bagi menangani keciciran murid dalam peperiksaan itu,” menurut kenyataan itu.

Bagi meningkatkan kehadiran dalam peperiksaan SPM serta sahsiah dan jati diri murid, KPM melaksanakan Program Jom Ke Sekolah, melantik duta sahsiah, mengadakan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia dan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara.

Antara intervensi lain yang turut dilaksanakan ialah program gempur Kehadiran SPM, psikometrik Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), program minda sihat, program jejak SPM, bengkel pemantapan intervensi, pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling (GBK), karnival pendidikan dan kerjaya, program kolaboratif dan 'dashboard' calon SPM.

Terkini, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan rakan strategik Yayasan Hasanah bagi melaksanakan program intervensi bagi menangani keciciran pembelajaran melibatkan penyertaan pelajar tingkatan empat dan lima.

Kerjasama itu merangkumi penganjuran kelas tambahan bagi Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, program untuk meningkatkan keyakinan diri murid serta bimbingan hala tuju selepas SPM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan