AM > BERITA

Gaji Premium Lepasan TVET Ditetapkan Hingga RM4,000 - Ahmad Zahid

23/09/2024 04:22 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) hari ini bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penetapan kadar gaji itu melebihi pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini serta bertujuan menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

"Kita telah mengadakan memorandum perjanjian (MoA) dengan majikan (syarikat berkaitan kerajaan dan swasta) yang mana gaji premium dipersetujui melebihi gaji minimum ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Ini akan lebih menarik lepasan TVET untuk bekerja di sektor-sektor tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MTVET dan Sesi Libat Urus 66 syarikat berkaitan kerajaan serta swasta bersama 12 kementerian TVET, di sini hari ini.

Antara tiga syarikat yang menandatangani MoA itu termasuk Cypark Sdn Bhd, Penang Port Sdn Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penetapan kadar itu bukan mengikut persatuan majikan, persatuan kilang atau sebagainya, sebaliknya antara institusi TVET dengan pihak syarikat yang bersetuju dengan gaji premium berkenaan.

Beliau berkata MTVET juga bersetuju agar Lembaga Teknologis Malaysia (MBoT) mengiktiraf lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap enam hingga lapan setaraf ijazah sarjana muda kelas pertama dan lepasan SKM tahap lapan mendapat gelaran Teknologi Profesional (Ts), sebagai penambahbaikan ekosistem pendidikan TVET negara.

Selain itu, kelulusan SKM tahap satu dan dua diangkat menjadi setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala SKM tahap tiga hingga lima setaraf diploma.

Ahmad Zahid berkata individu yang mempunyai SKM 5 boleh memohon untuk memasuki universiti tanpa SPM dan antara universiti terlibat ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan