AM > BERITA

Hujan Lebat, Air Pasang Besar Faktor Banjir Di Kedah

23/09/2024 04:49 PM

JITRA, 23 Sept (Bernama) -- Faktor hujan lebat disertai fenomena air pasang besar yang berlarutan selama beberapa hari dipercayai punca berlakunya banjir di negeri ini, khususnya di daerah Kota Setar.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata banjir kali ini melibatkan ramai mangsa terpaksa dipindahkan namun tidak seburuk pernah dialami pada 2010.

“Kejadian banjir kali ini yang kedua terburuk di Kedah dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dipercayai akibat hujan yang banyak dan bertembung dengan fenomena air pasang besar. 

"Apabila keadaan itu berlaku, air di daratan tersekat kerana tidak dapat mengalir ke laut dan itu menyebabkan banjir kali ini agak besar dan berlarutan dalam tempoh agak lama," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera dekat sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata keadaan semakin pulih apabila air banjir di kawasan terjejas sudah surut dan penduduk mula kembali ke kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan infrastruktur Sabo yang sedang dilaksanakan di Kedah melibatkan kos keseluruhan berjumlah lebih RM512 juta.

Projek itu ialah RTB Sungai Kedah/Anak Bukit Pakej 2, RTB Pendang Pakej 1, RTB Pendang Pakej 2, RTB Bandar Jitra Selatan, RTB Baling Fasa 2, serta projek pembinaan infrastruktur Sabo di Sungai Kupang, Baling.  

Beliau berkata terdapat enam lagi projek RTB dan pengawalan hakisan serta pemuliharaan pantai di beberapa daerah sedang dalam proses perolehan dan reka bentuk dengan kos lebih RM309 juta.

Selain itu, terdapat lapan projek RTB, saliran dan pemuliharaan sungai yang sedang dipohon Jabatan Pengairan dan Saliran untuk dilaksanakan di negeri ini.

“Kesemua projek ini amat diperlukan di Kedah sebagai mitigasi banjir. Kejadian banjir yang agak teruk pada tahun ini menunjukkan keperluan kepada projek-projek ini, kita harap ia dapat disegerakan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan