AM > BERITA

BSMM Agih 3,000 Pek Makanan Kepada Mangsa Banjir Di Kedah

23/09/2024 05:30 PM

PENDANG, 23 Sept (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kedah hari ini mengagihkan sebanyak 3,000 pek makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di negeri ini.

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Kebangsan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim memaklumkan pek makanan itu diagihkan kepada penduduk terjejas di Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang dan Bandar Baharu.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata sumbangan berkenaan hasil keprihatinan beberapa syarikat korporat dengan kerjasama para sukarelawan Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), Kolej Keda, Persatuan Warga Emas Kota Setar dan Majlis Belia Negeri Kedah.

“Pek makanan ini apabila sampai di Alor Setar terus diuruskan para sukarelawan, kerjasama pihak korporat saya amat hargai. Jika ada yang ingin membantu sila hubungi BSMM di ibu pejabat atau di Kedah sendiri.

“Derma amatlah dialu-alukan kerana semuanya kita salurkan kepada mereka yang terkesan dengan bencana dan itu hakikatnya dan amanah kita. Paling mustahak sekali ialah kesatuan dalam menangani banjir, tugas kami untuk membantu agensi kerajaan menolong mereka yang menghadapi bencana,” katanya.

Tengku Puteri Intan Safinaz berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Barangan Nestle kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang di sini.

Sejumlah 81 sukarelawan telah digerakkan ke kawasan terjejas dalam usaha pencegahan penyakit berjangkit akibat air, memberi khidmat sokongan psikososial dan membersihkan kawasan yang terjejas teruk.

Sementara itu, mangsa banjir Che Embun Yahya, 71, dari Kampung Banggol Besi di sini berkata dia  berterima kasih kepada BSMM yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung.

“Saya dan adik Rodiah, 66, (buta) mula pindah ke sini (PPS SMK Pendang) sejak Khamis lepas setelah air naik di kawasan rumah. Kami puas hati berada di sini kerana semua keperluan mencukupi, makanan, tempat tidur semua selesa, kami tunggu air surut dan akan pulang tidak lama lagi,” katanya.

Abdul Rahman Hashim, 56, dari Kampung Lahar Batu di sini pula berkata air naik dengan cepat menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS.

“Ini kali pertama air naik ke rumah dan banyaklah barangan rosak, dianggarkan kerugian sebanyak RM3,000. Kami tidak ada pengalaman banjir sampaikan tak sempat nak selamatkan barangan, namun di PPS banyak bantuan tiba dan rasa lebih selamat dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan