AM > BERITA

UTM Hasilkan Lebih 500 Buku Braille

23/09/2024 06:05 PM

JOHOR BAHRU, 23 Sept (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan lebih 500 naskhah buku braille dalam usaha memperluas akses ilmu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak 1998.

Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM Nor Asikin Mohamad berkata kesemua naskhah dihasilkan menerusi Projek Transliterasi Buku Braille-Baca Celik Hati itu telah diedarkan ke sekolah-sekolah di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 

“Projek itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTM kepada masyarakat dan setakat ini kita telah menghasilkan lebih 500 buku braille melibatkan pelbagai topik ilmiah.

“Sejak kebelakangan ini, kita mendapat banyak permintaan untuk menghasilkan buku braille melibatkan pendidikan agama Islam dan buku jawi bagi Tahun 4, 5 dan 6,” katanya dalam sidang media sempena Pentas Budaya Sasterawan Negara: Datuk Dr Siti Zainon Ismail-Keindahan Adab Sopan dan Gelora Teluk Belanga dan Pelancaran Buku Braille Beraudio di UTM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Prof Dr Rosli Md Illias. 

Nor Asikin berkata selain menghasilkan buku braille, UTM juga sedang giat menghasilkan naskhah buku braille beraudio bertajuk Baca bagi OKU penglihatan sekali gus membolehkan golongan itu mempelajari ilmu dengan kaedah mendengar.

“Kita akan menghasilkan lebih banyak lagi buku braille melibatkan pelbagai bidang ilmu bagi manfaat golongan itu di negara ini. 

“Proses transliterasi bukan sahaja memakan kos tetapi juga memerlukan masa untuk menghasilkannya. Tempohnya mengikut buku asal, ada yang boleh disiapkan dalam sehari namun ada yang memakan masa beberapa bulan,” katanya.

Sementara itu, Siti Zainon memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak menggunakan perkataan Melayu klasik dalam ucapannya.

“Sangat bagus dan ini membuktikan beliau banyak membaca. Secara tidak langsung anak-anak muda akan tahu bahawa perkataan yang digunakan itu bahasa Melayu bukan bahasa Indonesia. Misalnya, perkataan meluncurkan itu bahasa lama yang tidak dipedulikan, itu bahasa kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan