AM > BERITA

GSC, Taylor's University Meterai MoU Lahir Bakat Dalam Industri Perfileman 

23/09/2024 06:58 PM

PETALING JAYA, 23 Sept (Bernama) -- Golden Screen Cinemas (GSC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Taylor's University melalui Fakulti Media dan Komunikasi untuk bekerjasama melahirkan bakat dalam industri perfileman. 

Menurut GSC kerjasama ini bakal memberikan manfaat kepada pelajar program Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) (Digital Media Production), dengan menyediakan pelbagai peluang seperti bimbingan, bengkel interaktif, kuliah tetamu serta filem dihasilkan pelajar berpeluang ditayangkan di GSC.

“Sebagai jenama tempatan, GSC sentiasa memperjuangkan filem tempatan melalui  #GSCKeepingitREEL termasuk penerbitan bersama, pelaburan, dan menyokong industri perfileman tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee pada majlis menandatangani perjanjian itu hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Koh dan Dekan Eksekutif Fakulti Social Sciences and Leisure Management Taylor's University Prof Dr Neethianathan Ari Ragavan.

Koh berkata sokongan GSC mencetuskan penerimaan positif terhadap filem tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Oleh itu, melalui kerjasama dengan Taylor's University, GSC kekal komited untuk memperkasakan dan mengembangkan bakat yang berpotensi untuk menerajui masa depan industri perfileman tempatan melalui program #GSCKeepingitREEL,” katanya. 

Sementara itu, Neethianathan berkata kerjasama ini melambangkan komitmen universiti untuk mengintegrasikan pengetahuan akademik dengan industri, membekalkan pelajar kemahiran kreatif dan keusahawanan.

“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama Taylor's University dan GSC dalam melahirkan generasi baharu profesional media yang inovatif dan celik kewangan serta bersedia menerajui dan mencorakkan masa depan industri perfileman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan