AM > BERITA

Sultan Kedah Berkenan Lawat Mangsa Banjir Di PPS

23/09/2024 07:37 PM

ALOR SETAR, 23 Sept (Bernama) -- Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.

Baginda meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dan menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan beberapa ketua agensi serta jabatan berkaitan.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM300 kepada setiap ketua isi rumah menerusi Tabung Amanah Sultan Kedah.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat PPS Stadium Suka Menanti yang dibuka sejak 19 Sept itu masih menempatkan seramai 588 mangsa daripada 170 keluarga setakat hari ini.

Seorang mangsa banjir Natrah Saad, 64, dari Kampung Alor Merah di sini yang menjaga cucu lelakinya, Mohd Afiq Ramadhan Abdullah, 9, yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil bersyukur dan menjunjung kasih atas sumbangan yang dikurniakan Sultan Kedah kepada semua mangsa di PPS itu.

Sementara itu, Norizan berkata baginda turut menitipkan pesanan kepada mangsa banjir di PPS agar menjaga keselamatan dan kesihatan dalam tempoh diuji bencana alam ini. 

Norizan turut berpuas hati dengan semua agensi, jabatan dan pegawai daerah yang terlibat kerana memberikan komitmen tinggi sejak hari pertama banjir berlaku di Kedah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan