AM > BERITA

Guna Kepakaran Firma Singapura Bangunkan Pelabuhan Bintulu - Abang Johari

23/09/2024 09:05 PM

BINTULU, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mengkaji semula pembangunan kawasan pelabuhan di sini dengan menggunakan khidmat nasihat Surbana Jurong, sebuah firma pembangunan pelabuhan dari Singapura.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat berkenaan memiliki pengalaman luas dalam mewujudkan pelabuhan besar di Singapura dan kepakaran mereka akan digunakan dalam pembangunan fasa kedua kawasan pelabuhan di sini.

“Mereka akan membuat perancangan untuk kita membangunkan Fasa Kedua Pelabuhan Bintulu Samalaju di bawah Bintulu Port Holdings. Ini akan memberikan kesan mendalam dan positif kepada masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo di sini hari ini.

Beliau berkata kajian semula pembangunan pelabuhan itu memerlukan pendekatan baharu sejajar dengan perkembangan dalam aktiviti industri di sini selain untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang disediakan Bintulu Ports Holdings berdasarkan konsep pelabuhan hijau.

“Langkah pertama kita akan kenal pasti industri baharu, selepas itu kenal pasti trend baharu ke arah kegiatan hijau kerana Bintulu Port Holdings ini sudah diiktiraf sebagai pelabuhan hijau. 

“Seterusnya industri baru yang berkehendakkan tenaga bersih termasuklah gas iaitu satu daripada tenaga paling bersih bagi kategori bahan bakar fosil tetapi kita ada gas hidrogen yang boleh dipecah untuk mengeluarkan tenaga hijau,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata pangkalan bekalan minyak dan gas yang dilancarkan hari ini akan menjadi tapak untuk pengurusan Pelabuhan Bintulu dengan membekalkan segala bahan dikehendaki dalam aktiviti industri minyak dan gas.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan khasnya Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam dan Eksais yang telah memberi lesen kepada Bintulu Port Holdings Berhad untuk mewujudkan pangkalan berkenaan.

“(Pangkalan) ini akan menempatkan Bintulu sebagai satu tempat di mana industri minyak dan gas dan industri berkaitan mendapatkan pemerolehan barang. Ini adalah satu pembaharuan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan