AM > BERITA

Sagu, Pohon Kehidupan Yang Memacu Kelestarian Pertanian Di Tanah Gambut – Roland Sagah

24/09/2024 12:10 AM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) --  Sagu, yang digelar sebagai pohon kehidupan, tumbuh subur di kawasan paya gambut dengan ciri-ciri ekosistem tanah lembap.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ciri-ciri ini bukan sahaja menggariskan kepentingan pengurusan paya gambut secara mampan tetapi juga menggalakkan amalan pertanian bersama dengan tanaman lain seperti kelapa sawit.

“Kepentingan sagu melangkaui impak persekitarannya yang berfungsi sebagai sumber makanan utama bagi kebanyakan komuniti.

"Sebarang penyelidikan bagi meningkatkan hasil tuaian sagu akan memberi manfaat kepada industri mahupun manusia sekali gus menyumbang kepada kelestarian makanan,” katanya selepas Majlis Suai Kenal Simposium Sagu Antarabangsa ke-15 di sini malam ini.

Beliau berkata majlis makan malam itu turut menyediakan suasana yang sesuai untuk para penyelidik, penggubal dasar dan penggiat menjalinkan hubungan yang boleh mendorong ke arah perbincangan serta penemuan dalam usaha meneroka potensi sebenar sagu.

Pengerusi penganjur Datuk Dr Lulie Melling pula berkata sejumlah 250 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam simposium itu, yang bermula hari ini dan berakhir pada Rabu.

Bertemakan ‘Membuka Potensi Sagu: Ke Arah Sistem Makanan Mamppan dan Pemulihan Alam Sekitar’, simposium itu menyasarkan untuk menghimpun para saintis, pihak berkepentingan dalam industri serta pegawai kerajaan untuk menjayakan aspek berbeza dalam pembangunan sagu bagi memastikan sistem pengeluaran tanaman yang mampan.

Ia juga bertujuan mengangkat status sagu di peringkat global sebagai sumber makanan yang berdaya maju, mampan serta berkhasiat dan pada masa sama, memainkan peranan penting dalam pemulihan serta rehabilitasi tanah gambut tropika.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan