DUNIA > BERITA

THAILAND SERAH SURAT RASMI SERTAI BRICS

21/06/2024 01:49 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 21 Jun (Bernama) -- Thailand secara rasmi telah menghantar surat hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang dikenali dengan akronim BRICS, kata jurucakap Kementerian Luar Nikorndej Balankura.

Nikorndej berkata surat rasmi hasrat untuk menyertai kumpulan itu semasa mesyuarat menteri BRICS telah dikemukakan lebih seminggu lepas dan berharap mendapat maklum balas positif tidak lama lagi.

"Kami berharap menerima maklum balas positif dan diterima sebagai ahli BRICS sebaik sahaja sidang kemuncak BRICS seterusnya yang akan diadakan di Rusia, Oktober tahun ini," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri negara jiran selatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam temu bual dengan media China pada Isnin bahawa Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai blok ekonomi BRICS tidak lama lagi.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, termasuk satu perlima perdagangan global dan mewakili sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan ini mula mengembangkan keahlian, dengan Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu menyertai kumpulan ini dan lebih daripada 40 negara menyatakan minat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan