DUNIA > BERITA

KEPENGERUSIAN MALAYSIA 2025 AMAT PENTING UNTUK ASEAN - SETIAUSAHA AGUNG

21/06/2024 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn telah menekankan bahawa peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada tahun depan akan menjadi amat penting bagi kumpulan itu, kata Sekretariat ASEAN di platform X dan laman sesawang asean.org.

Menurut Kao, Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun depan akan melibatkan semakan akhir Visi Komuniti ASEAN 2025 dan penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 serta pelaksanaan empat Pelan Strategik tonggak Komuniti ASEAN dan Kesalinghubungan ASEAN.

“Dr. Kao menantikan lawatan kerjanya ke Malaysia akhir tahun ini untuk bertemu dengan menteri-menteri utama tiga tonggak dalam menyokong persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025,” menurut hantaran itu.

Sekretariat ASEAN berkata Kao memuji kepimpinan Malaysia dalam mempengerusikan bersama mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025(HLTF-ACV) di Pattaya, Thailand.

Sekretariat ASEAN berkata Kao turut memuji peranan Malaysia sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-Kanada dari 2021 hingga 2024 dan menyatakan bahawa Malaysia akan memikul tanggungjawab sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, bermula dari Ogos 2024 hingga 2027.

Dr. Kao membuat kenyataan itu selepas Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason menyerahkan surat tauliahnya sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di ibu pejabat ASEAN/Sekretariat ASEAN pada Rabu.

Dalam kunjungan hormat selepas penyerahan itu, Kao mengucapkan tahniah kepada Sarah atas peranan baharunya dan menyatakan keyakinan terhadap keupayaannya untuk menyumbang kepada usaha pembinaan Komuniti ASEAN dan integrasi serantau.

Kao mengesahkan semula komitmen Sekretariat ASEAN untuk menyokong dan bekerjasama rapat dengan Sarah dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, serta menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Sarah dalam peranan baharunya sebagai Wakil Tetap ke ASEAN.

Sarah telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN berkuat kuasa 30 Mei.

Menurut Sekretariat ASEAN, Sarah ialah Wakil Tetap Malaysia yang keenam ke ASEAN sejak penubuhan CPR (Jawatankuasa Wakil Tetap ASEAN) pada tahun 2009.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Jerman dari 2017 hingga 2020 dan sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta dari 2010 hingga 2013.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan