DUNIA > BERITA

TIMBALAN MENTERI TEROKA KERJASAMA PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA-SURABAYA

26/06/2024 02:16 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemangku Setiausaha Wilayah Jawa Timur, Dr Bobby Soemiarsono untuk meneroka kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Surabaya.

Pertemuan di pejabat pemerintahan Surabaya, Gedung Negara Grahadi pada Selasa diiringi Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) kementerian, Mohamad Azhan Md Amir, bersempena lawatan kerja rasminya ke wilayah itu.

"Kami membincangkan potensi kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia dan Surabaya seperti program penyelidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta program pertukaran pensyarah dan pelajar," catatnya dalam hantaran di media sosial.

Mustapha berada di Surabaya untuk memberi semangat kepada atlet negara yang bertanding dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

Temasya itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Indonesia Ario Bimo Nandito Ariotedjo pada Selasa malam di International Basketball Arena, Universiti Negeri Surabaya.

Dalam video ringkas, Mustapha menzahirkan optimis: "Kalau badminton ada anak-anak Sidek, di petanque, kita ada anak-anak Syed Ali. All the best di AUG 2024 Surabaya, Indonesia."

Sempena lawatan, beliau turut bertemu pelajar Universiti Airlangga dari Malaysia yang mengambil jurusan perubatan, pergigian dan veterinari untuk mengetahui perkembangan dan pengalaman mereka di sana.

"Saya terharu dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mengejar kecemerlangan akademik dan pembangunan diri.

"Mereka bukan sahaja berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran, tetapi juga aktif dalam perlbagai aktiviti yang membina sahsiah dan kepimpinan."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan