DUNIA > BERITA

JERMAN TUNDUKKAN DENMARK, TEMPAH SLOT SUKU AKHIR EURO 2024

30/06/2024 12:14 PM

DORTMUND, 30 Jun (Bernama-dpa) -- Tuan rumah, Jerman berjaya mengalahkan Denmark 2-0 dalam aksi pusingan 16 terakhir Euro 2024 pada Sabtu, menerusi sepakan penalti Kai Havertz pada separuh masa kedua dan gol daripada Jamal Musiala.

Kemenangan itu menandakan kemenangan pertama Jerman dalam pusingan kalah mati sejak lapan tahun dan kini mereka akan berdepan Sepanyol dan Georgia pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perlawanan terpaksa dihentikan selama 30 minit pada separuh masa pertama akibat ribut, selepas Jerman mendominasi babak awal permainan.

Pada minit ke-53, Joachim Andersen didapati menyentuh bola dengan tangan dalam kotak penalti selepas semakan VAR, dan Havertz tidak mensia-siakan peluang dengan menjaringkan gol melepasi Kasper Schmeichel.

Hantaran cemerlang oleh Nico Schlotterbeck kemudian membolehkan Musiala menggandakan jaringan pada minit ke-68, memastikan kemenangan Jerman.

Kali terakhir Jerman bermain dalam kejohanan utama di Dortmund, mereka tewas kepada Itali dalam separuh akhir Piala Dunia 2006.

Walaupun, pasukan bimbingan Julian Nagelsmann tidak bermain pada tahap terbaik tetapi cukup untuk membalas dendam terhadap kekalahan kepada Denmark dalam final Euro '92.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan