DUNIA > BERITA

XI SERU SCO BERWASPADA TERHADAP ANCAMAN BERBAUR PERANG DINGIN

05/07/2024 03:53 PM

ASTANA, 5 Julai (Bernama-CMG) -- Presiden China, Xi Jinping menyeru negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berwaspada terhadap ancaman yang berbaur Perang Dingin.

Beliau membuat kenyataan itu ketika hadir menyampaikan ucapan pada sidang ke-24 Majlis Ketua-Ketua Negara SCO yang berlangsung di sini pada Khamis.

Xi berkata SCO telah menyaksikan jumlah anggotanya bertambah kepada 10 selepas ditubuhkan pada 23 tahun lalu.

"'Keluarga SCO' kini melibatkan 26 negara dari tiga benua dengan rakan kongsi semakin banyak serta asas kerjasama lebih kukuh.

“Saat dunia berdepan perubahan drastik yang tiada tolok banding dalam tempoh seabad lalu, masyarakat manusia sekali lagi berdiri di satu persimpangan jalan untuk membuat pilihan sejarah.

“Adalah amat mustahak bagi dunia bahawa SCO berdiri di sisi yang betul dalam membuat pilihan sejarah serta menyebelahi kesaksamaan dan keadilan,” kata beliau.

Xi menyeru semua negara anggota SCO menetapkan garis merah dalam bidang keselamatan ketika menghadapi cabaran dan ancaman yang berbaur Perang Dingin, melindungi hak pembangunan ketika berdepan risiko realistik dari "halaman kecil yang bertembok tinggi" serta berintegriti menangani cabaran dari campur tangan kuasa luar yang bertujuan memecah-belahkan.

Xi menegaskan,  pelbagai negara anggota SCO berpegang kepada tradisi perpaduan dan koordinasi, melakukan kerjasama yang berteraskan kesamarataan dan saling menguntungkan serta mengamalkan nilai-nilai yang adil, saksama, inklusif dan saling belajar, merupakan antara faktor-faktor yang menjadikan blok itu dapat berdiri gah di pentas dunia di sebalik pergolakan antarabangsa.

"Kita perlu mengekalkan manifesto SCO, terus menyemarakkan ‘Semangat Shanghai’, saling membantu untuk mencapai kejayaan di negara masing-masing, bersama-sama mendorong  perkembangan SCO ke arah yang diinginkan, dan membina pertubuhan ini menjadi tulang belakang yang boleh dipercayai untuk mewujudkan kemakmuran bersama dan memacu pembangunan di setiap negara anggota,” kata Xi.

Pemimpin negara anggota SCO yang menghadiri mesyuarat itu memberi penilaian positif terhadap peranan konstruktif blok itu dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan serantau dan komited memperkasakan kerjasama dalam bidang perdagangan, pengangkutan, tenaga, kewangan, pertanian, ekonomi digital dan inovasi sains dan teknologi, serta memperhebat pertukaran dan kerjasama dalam bidang sosiobudaya yang melibatkan pendidikan, budaya, pelancongan dan belia.

Terdapat sejumlah dokumen yang turut ditandatangani dan dikeluarkan dalam mesyuarat itu, termasuk Deklarasi Astana Majlis Ketua-ketua Negara Anggota SCO, inisiatif yang menyeru pelbagai negara anggota berintegriti menggalakkan keadilan, keharmonian dan pembangunan dunia serta siri resolusi mengenai kerjasama dalam bidang tenaga, pelaburan dan keselamatan maklumat.

Mesyuarat itu juga meluluskan secara rasmi keanggotaan Belarus dalam SCO dan memutuskan bahawa China sebagai pengganti akan menyandang jawatan negara pengerusi bergilir pertubuhan itu untuk penggal 2024-2025.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan