DUNIA > BERITA

PERSAHABATAN 50 TAHUN MALAYSIA-CHINA: PESARA MALAYSIA BERBASIKAL LEBIH 15,000 KM KE BEIJING

05/07/2024 03:59 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 5 Julai (Bernama) -- Dua pesara Malaysia telah memulakan kembara berbasikal menuju Dataran Tiananmen di Beijing sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 31 Mei 1974.

Teng Choon Kwang, 73, dari Shah Alam dan rakannya Tiong Ting Ming, 72, dari Manjung, Perak memulakan perjalanan sejauh lebih 15,000 kilometer pada 30 Jun dari Bentong, Pahang.

Teng berkata hubungan diplomatik Malaysia-China selama 50 tahun merupakan satu pencapaian hebat, dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum mencapai kemuncaknya tahun ini.

"Terdapat banyak cara untuk memperingati hari bersejarah ini seperti komuniti Cina Malaysia mengadakan jamuan makan malam dengan menjemput pegawai-pegawai China dan ada yang menganjurkan seminar atau ceramah, tetapi kami memilih untuk berbasikal kerana ia melambangkan liku-liku hubungan diplomatik (Malaysia-China).

"Ia akan menjadi paling mencabar dan menggambarkan bagaimana kedua-dua negara mengatasi kesulitan sebelum mencapai hubungan yang luar biasa selama 50 tahun," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata matlamat mereka adalah untuk tiba di Beijing pada 30 Sept, menjelang sambutan Hari Kebangsaan China yang ke-75 pada 1 Oktober.

"Buat sementara waktu, kami akan berjumpa dengan Kedutaan Malaysia di China sebelum mereka mengiringi kami ke Dataran Tiananmen," katanya.

Teng berkata beliau dan Tiong adalah penggemar aktiviti berbasikal dan sering mengembara melintasi sempadan dengan hanya menginjak pedal.

"Kami telah berbasikal sejak bertahun-tahun dan dalam perjalanan ke Beijing, kami akan menikmati keindahan alam dan menyebarkan persahabatan yang indah antara Malaysia dan China," katanya.

Pada 30 Jun, kembara berbasikal Teng dan Tiong telah dilepaskan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Turut hadir Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Khan dan veteran politik Tan Sri Lim Kit Siang.

Terdahulu, Teng berkongsi dalam kemas kini WhatsApp bahawa perhentian pertama mereka adalah di Kuala Lipis, di mana mereka bermalam pada 30 Jun sebelum berbasikal ke Gua Musang pada 1 Julai. Pada 2 Julai, mereka singgah di Jeli.

Kedua-dua sahabat itu sempat menikmati durian di Jeli sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 3Julai.

Pada 4 Julai, mereka melintasi sempadan dari Pengkalan Kubor di Kelantan ke Narathiwat, sebuah wilayah di selatan Thailand, namun ribut petir dan hujan lebat memperlahankan perjalanan mereka, memaksa mereka bermalam berhampiran stesen minyak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan