DUNIA > BERITA

AL-AZHAR AL-SHARIF TAJA PROGRAM LATIHAN UNTUK 25 IMAM MALAYSIA DI MESIR

05/07/2024 04:51 PM

Oleh Badrul Aini Sha'ari

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Universiti Al-Azhar Al-Sharif akan menawarkan program latihan dengan tajaan penuh kepada 25 orang imam terpilih dari Malaysia bermula tahun ini.

Sheikh Al-Azhar Al-Imam Al-Akbar Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb berkata program latihan itu akan diadakan sama ada secara dalam talian atau secara bersemuka di Kaherah, Mesir.

Pengumuman itu dibuat ketika sesi kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar bersama ahli lembaga pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Sheikh Al-Azhar dalam ucapannya menyuarakan kebimbangan terhadap gejala Takfir (mengkafirkan seseorang), Tafsiq (tuduhan sebagai fasiq), Tabdi’ (tuduhan sebagai ahli bidaah) dalam kalangan umat Islam kini.

Beliau menjelaskan perbezaan mazhab dan aliran pemikiran dalam Islam tidak seharusnya menjadi punca persengketaan antara Muslimin, apatah lagi perseteruan bersenjata.

“Saya gusar adanya tangan ghaib yang cuba melaga-lagakan sesama umat Islam. Malah eksploitasi musuh menyebabkan imej Islam terpalit dengan unsur keganasan.

“Daesh misalnya menyalahgunakan takbir ketika menyembelih tawanan bukan Islam. Ini menimbulkan salah faham terhadap Islam dan umatnya. Sedangkan ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang keras kita berperang kecuali apabila diserang musuh yang menceroboh negara kita sahaja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar menjaga hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini dan mengekalkan hubungan muhibah yang sedia terjalin selama ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan