DUNIA > BERITA

CHINA KOMITED BERSAMA AFRIKA MENUJU KE ARAH MODENISASI

04/09/2024 02:18 PM

BEIJING, 4 Sept (Bernama-CMG) -- Seorang pakar daripada Institut Pengajian China Universiti Malaya, Dr Peter T.C Chang, menerbitkan satu rencana baru-baru ini yang mengulas bahawa ketika Amerika Syarikat (AS) tertumpu kepada usaha mengukuhkan pakatan ketenteraan, China sebaliknya memfokuskan kepada kerjasama ekonomi dan menebus persamaan dalam pertukaran tamadun bagi membentuk landskap yang adil dan saksama dalam senario global, selari dengan visinya iaitu memperjuangkan matlamat membentuk “komuniti berkongsi masa depan”.

Contohnya, Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika yang berlangsung di Beijing minggu ini.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Berganding Bahu Ke Arah Modenisasi dan Membina Komuniti Berkongsi Masa Depan China-Afrika yang Holistik” ini akan menghimpunkan perwakilan dari 53  negara dari benua Afrika yang mempunyai hubungan diplomatik dengan China termasuk Kesatuan Afrika.

China yang kini sudah berada di landasan memacu “modenisasi ala China”, beranggapan negara membangun termasuk di Afrika sebagai rakan kongsi nasib patut memanfaatkan peluang ini. Sejak ditubuhkan pada 2000, Forum Kerjasama China-Afrika membuahkan hasil yang pelbagai seperti “10 Pelan Kerjasama” yang ditetapkan di Johannesburg pada 2015 yang memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan dan kesihatan awam, “Lapan Tindakan 2018” yang melibatkan kesalinghubungan infrastruktur dan pembangunan hijau dan “Sembilan Projek” yang melibatkan inovasi digital yang dikemukakan pada Mesyuarat Peringkat Menteri ke-8 pada 2021.

Kesamarataan yang terkandung dalam semua sasaran yang ditetapkan dalam kerjasama antara China dengan Afrika merupakan satu daripada garis panduan Beijing dalam rangka kerjasama Selatan-Selatan.

Sebagai contoh, China pernah sedaya upaya menghulurkan bantuan dalam pembinaan rel Tanzania-Zambia, walaupun masih berada dalam keadaan kewangan yang menghimpit pada 1970.

Pada masa sekarang yakni zaman kereta api berkelajuan tinggi (HSR), China menghulurkan lagi bantuan dalam pembinaan rel Membasa-Nairobi mengikut standard yang sama yang diguna pakai negara ini. Jumlah pengangkutan penumpang meningkat kepada lebih 12.8 juta orang, berserta pengangkutan kargo kira-kira 32.8 juta tan sejak  perkhidmatan rel ini dirasmikan pada  2017. Ia sekali gus menyediakan 74,000  peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan termasuk lebih 2,800 orang pakar dan pekerja profesional yang terlatih.

China sanggup berkongsi pencapaiannya dengan negara seperjuangan di Afrika, jauh berbeza dengan amalan Barat yang cenderung membina “small yard, high fence” dalam pergaulan dengan Afrika.

Kerjasama Selatan-Selatan yang lebih erat dan saling melengkapi boleh membantu setiap negara anggotanya mengorak langkah ke arah pemodenan.

Justeru, China dan Afrika yang berada di tahap pembangunan yang berlainan boleh saling melengkapi dengan mencari peluang perdagangan yang berpotensi besar.

China sebagai rakan dagang terbesar Afrika untuk 15 tahun berturut-turut,  membuat pelaburan langsung US$40 bilion (RM174 bilion) di benua itu setakat akhir tahun lalu, dan berjaya menyediakan lebih 1.1 juta peluang kerja kepada penduduk tempatan dalam tempoh tiga tahun lepas.

Syarikat pelabur China yang sudah lama bertapak di Afrika pula selalunya melihat benua itu sebagai “kampung halaman kedua” mereka, dengan aktif melibatkan diri dalam misi menyelamat apabila berlakunya bencana, memberi sumbangan derma kepada sekolah dan hospital tempatan, dan menjaga perlindungan alam dengan mengamalkan konsep pembangunan “Gunung Hijau dan Air Jernih Bagaikan Gunung Emas dan Perak” demi manfaat generasi mendatang.

Berbanding dengan amalan China di Afrika, pelabur Barat lebih banyak dilaporkan terlibat dalam kes yang menjadi-jadi mengenai pencemaran dan eksport sampah sisa beracun.

Pemimpin dari 53 negara Afrika dan Kesatuan Afrika berkumpul di Beijing, mencerminkan keyakinan mereka terhadap negara Tembok Besar yang dianggap sebagai “teman sejati”.

-- BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan