DUNIA > BERITA

MENTERI LUAR LAWAT TURKMENISTAN UNTUK TINGKATKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK DAN EKONOMI

08/09/2024 05:20 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan melakukan lawatan rasmi ke Turkmenistan dari 9 hingga 10 Sept untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar berkata semasa lawatan itu, Mohamad dijadualkan  mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.

Beliau juga akan menyampaikan surat undangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengundang Berdimuhamedov melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2024.

“Di Ashgabat, Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Naib Presiden dan Menteri Luar Rashid Meredov, untuk membincangkan hubungan ekonomi, pendidikan, pelancongan, dan kerjasama teknikal antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga berkata Mohamad dijangka akan mengadakan kunjungan hormat ke atas  Pengerusi Kebangsaan Majlis Rakyat Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

Lawatan Mohamad akan didahului oleh Konsultasi Bilateral kelima antara Malaysia dan Turkmenistan di peringkat Pegawai Kanan pada 9 Sept.

Pada 2023, Turkmenistan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah, dengan nilai perdagangan keseluruhan sebanyak RM48.62 juta (US$10.57 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan