DUNIA > BERITA

PUTERI WALES ' LEGA' SELESAI JALANI RAWATAN KEMOTERAPI

10/09/2024 12:54 PM

WASHINGTON, 10 Sept (Bernama-UPI) -- Puteri Wales Kate Middleton pada Isnin berkata beliau telah selesai menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser yang tidak didedahkan dan akan menjalankan lebih banyak tugas diraja dalam "beberapa bulan akan datang", lapor United Press International (UPI).

"Walaupun saya telah menamatkan rawatan kemoterapi, laluan saya untuk penyembuhan dan pemulihan penuh adalah panjang dan saya mesti terus menghadapi setiap hari seperti biasa," kata Kate yang juga isteri kepada Putera William dalam satu hantaran di X.

Hantaran itu disertakan dengan video memaparkan klip keluarga pasangan diraja dan tiga anak mereka dalam suasana luar bandar yang dipercayai di Istana Balmoral, Scotland.

Menurut Kate, sukar untuk menggambarkan betapa beliau berasa lega untuk menyelesaikan rawatan kemoterapinya ketika musim panas semakin hampir ke penghujungnya.

"William dan saya sangat berterima kasih atas sokongan yang kami terima dan telah mendapat kekuatan yang besar daripada semua orang yang membantu kami pada masa ini," katanya, sambil menzahirkan penghargaan terhadap "kebaikan, empati dan belas kasihan semua pihak" yang disifatkannya sebagai "sangat merendah diri."

Pada Mac lepas, Istana Buckingham mengumumkan bahawa Kate telah disahkan menghidap kanser dan sedang menjalani rawatan selepas beliau menjalani pembedahan abdomen pada Januari.

Kate pada Isnin menyifatkan sembilan bulan terakhirnya sebagai "amat sukar" bagi keluarga yang rapat, sambil menambah bahawa "hidup boleh berubah sekelip mata" dan untuk mengharunginya, "mereka perlu mencari jalan untuk "menempuhi cabaran" dan perjalanan yang tidak diketahui."

Pengalaman kansernya menurut beliau adalah "kompleks, menakutkan dan tidak dapat diramalkan" bukan sahaja untuk dirinya tetapi "untuk semua orang, terutamanya mereka yang paling rapat dengan anda." 

Menurut Kate, tumpuannya kini adalah untuk "melakukan apa yang beliau mampu untuk kekal bebas kanser."

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan