DUNIA > BERITA

AUTORITI AI SAUDI, OECD METERAI MOU TINGKAT PEMANTAUAN INSIDEN AI DI TIMUR TENGAH

11/09/2024 09:16 PM

RIYADH, 11 Sept (Bernama) -- Dalam usaha mengukuhkan pemantauan insiden Kecerdasan Buatan (AI) di negara Timur Tengah dan menambah baik penjejakan perkembangan AI, Pihak Berkuasa Data dan AI Saudi (SDAIA) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada Selasa menandatangani MoU.

MoU itu membolehkan pelaksanaan Monitor Insiden AI OECD (AIM) untuk menjejaki data dalam bahasa Arab, kata kenyataan daripada SDAIA.

Ia ditandatangani semasa edisi ketiga Sidang Kemuncak AI Global (GAIN) 2024 yang sedang berlangsung di Riyadh, menghimpunkan pemimpin dan pakar AI dari seluruh dunia.

Melalui kerjasama ini, sumber OECD yang luas, termasuk pangkalan datanya yang mengandungi lebih 1,000 dasar AI dari 70 negara, akan diperkaya dengan maklumat berharga dari Timur Tengah. 

AIM direka untuk mendokumentasikan insiden dan bahaya AI - menyediakan penggubal dasar, pengamal AI dan pihak berkepentingan global dengan pandangan kritikal tentang risiko dan kemudaratan yang ditimbulkan oleh sistem AI.

Kerjasama antara SDAIA dan OECD ini merupakan langkah penting ke arah memastikan sistem AI yang boleh dipercayai sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Sementara itu, di luar GAIN yang sedang berlangsung, SDAIA melancarkan inisiatif perintis untuk memajukan penyelidikan dan aplikasi AI yang dibangunkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).  

Inisiatif itu bertujuan untuk menetapkan standard baharu dalam landskap AI global, menekankan komitmen Arab Saudi terhadap inovasi yang bertanggungjawab, menurut kenyataan berasingan yang dikeluarkan SDAIA.

Inisiatif itu bertujuan untuk mewujudkan platform perbincangan mengenai masa depan AI dan meneroka bagaimana aplikasi moden boleh memperkasakan pembangunan dasar, meningkatkan persekitaran penyelidikan, memupuk pertumbuhan perniagaan dan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan.

Fokus utama projek ini adalah untuk menggalakkan pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan yang beretika dan bertanggungjawab sejajar dengan nilai negara.

Inisiatif ini juga mencerminkan pelancaran Laporan Negara Arab Saudi, yang dibangunkan melalui Metodologi Penilaian Kesediaan UNESCO, alat pelaksanaan Syor UNESCO mengenai Etika AI.

Dalam perkembangan berkaitan, SDAIA mengumumkan kerjasama perintis dengan pengeluar perisian dan fabless NVIDIA yang akan melonjakkan Arab Saudi ke barisan hadapan dalam inovasi AI.

Teras kerjasama ini adalah integrasi kemajuan teknologi terkini NVIDIA untuk membolehkan pembangun membina dan menggunakan aplikasi AI dengan lebih mudah menggunakan model ALLaM Arabic LLM, yang menjamin prestasi dan kebolehskalaan yang tiada tandingan untuk beban kerja khusus wilayah.

SDAIA dan NVIDIA bersama-sama memacu era baharu transformasi dikuasakan AI di Arab Saudi, mengukuhkan kepimpinan Kerajaan dalam AI dan inovasi digital di pentas global.

Sidang kemuncak GAIN dibuka pada Selasa, dengan edisi ketiga sidang kemuncak itu meneroka tema penting, seperti AI Generatif, AI dalam kehidupan bandar dan tadbir urus beretika AI, memastikan perbincangan menyeluruh tentang kesan teknologi terhadap masyarakat, perniagaan dan tadbir urus.

Sidang kemuncak GAIN menampilkan lebih 450 penceramah dari lebih 100 negara, dan menganjurkan 150 sesi untuk membincangkan “Kini, Masa Depan dan Apa yang Tidak Pernah Terjadi untuk AI”, dengan lebih 32,000 perwakilan dijangka hadir selama tiga hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan