DUNIA > BERITA

DIPLOMASI PERTAHANAN, PERBINCANGAN PERINGKAT GLOBAL PENTING UNTUK KEKALKAN KEAMANAN - MOHAMED KHALED

11/09/2024 10:00 PM

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

SEOUL, 11 Sept (Bernama) -- Diplomasi pertahanan seperti perbincangan peringkat global dan rundingan meja bulat semasa Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024, menjadi kunci untuk memastikan keamanan dan keselamatan berterusan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata SDD menyediakan platform untuk berkongsi cabaran ancaman keselamatan dan bertukar-tukar maklumat pertahanan antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, penganjuran sesi SDD 2024 membolehkan negara-negara mengetengahkan cabaran yang dihadapi.

“Cabaran, isu dan risiko ini, dibawakan untuk perbincangan bersama berdasarkan pengalaman masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas penutup SDD hari ini.

Mohamed Khaled berkata keselamatan dan keamanan hari ini melibatkan kawasan yang lebih besar dan tidak terhad dalam sempadan sesebuah negara.

Beliau berkata setiap mesyuarat dan persidangan pertahanan yang dianjurkan, juga akan dapat memastikan kejayaan diplomasi pertahanan.

Mohamed Khaled berkata diplomasi pertahanan sememangnya pendekatan strategik untuk menjaga keamanan dan memastikan sesebuah negara dihormati negara rakan dan juga pihak lawan.

“Ia bukan sahaja membantu mengekalkan keamanan tetapi juga terbukti membantu ketika situasi konflik dan perkara lain yang berkaitan,” katanya.

SDD telah berkembang menjadi satu platform antarabangsa untuk integrasi dan perpaduan, membincangkan pelbagai isu global secara mendalam. Ia disertai 900 perwakilan daripada 64 negara, termasuk wakil bertaraf menteri daripada lapan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan