DUNIA > BERITA

LETUPAN KEDENGARAN BERHAMPIRAN LOKASI PENGEBUMIAN ANGGOTA HIZBULLAH DI BEIRUT

19/09/2024 11:18 AM

BEIRUT, 19 Sept (Bernama-Anadolu) -- Satu letupan kedengaran pada Rabu berhampiran kawasan pengebumian anggota Hizbullah yang terbunuh dalam letupan alat kelui pada Selasa, di Dahieh sebuah kawasan kejiranan di selatan Beirut, ibu negara Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Wartawan Anadolu di tempat kejadian melaporkan mendengar bunyi letupan itu, manakala saksi mengatakan letupan berkenaan mungkin disebabkan oleh peranti yang terlibat dalam letupan pada Selasa atau alat kelui lain.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai insiden itu

Sementara itu, sumber tempatan turut mencadangkan bahawa radio mungkin meletup dalam insiden itu.

Beberapa alat kelui, peranti telekomunikasi tanpa wayar, meletup pada Selasa di beberapa kawasan di Lubnan, termasuk ibu negara Beirut, yang menurut media tempatan adalah disebabkan oleh pencerobohan sistem itu oleh Israel.

Agensi perisikan Israel Mossad didakwa telah memasang bahan letupan di bateri alat kelui  yang meletup pada Selasa di Lubnan, mengorbankan 12 orang dan mencederakan kira-kira 2,750 yang lain, termasuk 200 dalam keadaan kritikal, menurut saluran Sky News Arabia.

Letupan alat kelui ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Israel dan Hizbullah dalam serangan rentas sempadan sejak bermulanya serangan berdarah Tel Aviv di Semenanjung Gaza, yang telah meragut lebih 41,200 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt tahun lepas.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan