EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH SUKU PERTAMA YINSON SUSUT KEPADA RM203 JUTA

19/06/2024 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd menyusut kepada RM203 juta bagi suku pertama berakhir 30 April, 2024 daripada RM208 juta bagi tempoh yang sama setahun lepas, didorong oleh hasil yang lebih rendah pada suku semasa.

Syarikat infrastruktur tenaga dan teknologi itu berkata hasil merosot kepada RM2.21 bilion daripada RM3.01 bilion, terutamanya disebabkan penurunan sumbangan daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

Penyusutan itu susulan kemajuan yang perlahan projek tiga aset pengeluaran penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) iaitu FPSO Atlanta, FPSO Maria Quitéria dan FPSO Agogo, yang sedang dalam pembinaan.

"FPSO Maria Quitéria dan FPSO Atlanta dijangka siap pada penghujung tahun kewangan semasa, yang sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan baharu daripada operasi FPSO Anna Nery sejak 7 Mei 2023.

"Kemajuan sebenar projek kami yang dalam pembinaan adalah sejajar dengan jangkaan kumpulan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Yinson, kumpulan itu akan beralih ke fasa pertumbuhan yang stabil apabila FPSO Atlanta, FPSO Maria Quitéria dan FPSO Agogo memulakan operasi mereka dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Melangkah ke hadapan, Yinson berkata ia kekal optimistik tentang masa depan perniagaannya.

"Dengan menumpukan kepada penghantaran dan kemampanan, kami percaya kami mampu mengharungi pasang surut pasaran tenaga sambil menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan kami.

 "Disokong oleh portfolio kontrak jangka panjang sedia ada syarikat, kami percaya kami boleh mencapai keputusan yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2025," katanya.

Sementara itu, Yinson mengumumkan dividen satu peringkat interim sebanyak satu sen sesaham untuk tahun kewangan 2025, berjumlah kira-kira RM30 juta, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan