EKONOMI > BERITA

PERINCIAN KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM RANKING DAYA SAING IMD DIJELASKAN HARI INI

20/06/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Perincian kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) akan diperjelaskan hari ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menerima laporan tersebut justeru, perincian itu akan dilakukannya bersama pasukan.

“Saya akan berbincang dengan pasukan dan semua yang terlibat. Petang ini saya akan memperincikannya.

“Kita baru mendapat laporan itu dan memahami sedikit sebanyak mengenai isu yang melibatkan perdagangan dari segi perdagangan global, dan pada sama kita lihat juga isu (lain),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penyertaan Malaysia bagi Ekspo Dunia 2025 di sini, pada Khamis.

Kedudukan Malaysia turun tujuh anak tangga kepada ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024. 

Malaysia juga turun empat anak tangga ke kedudukan 10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

Sementara itu, Malaysia akan menyertai Ekspo Dunia 2025 di Pulau Yumeshima, Osaka, Jepun yang akan diadakan mulai 13 April hingga 13 Okt, 2025.

Sebanyak 161 negara dan sembilan pertubuhan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata MITI perlu diberikan ruang untuk memperjelas laporan mengenai kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia oleh IMD itu.

“Kita beri ruang dan masa kepada pasukan MITI untuk mengkaji perkara yang berlaku (kedudukan Malaysia) kerana realitinya pada tahun ini pelaburan masuk ke Malaysia sangat tinggi antaranya sektor semikonduktor, pusat data dan AI (kecerdasan buatan).

“Menteri MITI (Tengku Zafrul) ada maklumkan beliau akan jawab perkara ini…kita serahkan pada pihak MITI untuk berikan jawapan yang sempurna,” katanya selepas merasmikan program MCMC-Microsoft AI Tech: Skills For AI-Enabled Economy, hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan