EKONOMI > BERITA

KERJASAMA EKONOMI MALAYSIA, CHINA TINGKATKAN RANTAIAN BEKALAN, PERDAGANGAN DALAM SEKTOR PERKHIDMATAN - TENGKU ZAFRUL

20/06/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Tiga kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China akan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dengan ketara, meningkatkan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Beliau berkata kerjasama itu akan turut menjadikan pendigitalan, kemampanan dan inovasi sebagai aspek utama selain memperkukuh pembangunan modal insan dan hubungan antara rakyat.

Kerjasama tersebut ialah Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China, selain dua memorandum persefahaman tambahan mengenai Memperkukuh Kerjasama Pelaburan dalam Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau.

 “Malaysia komited untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi sedia ada yang kukuh dengan China.

“Tiga perjanjian ini memberi laluan kepada lembaran baharu untuk kerjasama ekonomi, menggalakkan lebih banyak kemakmuran bersama untuk kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan pada majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan China dan Malaysia hari ini. 

Tengku Zafrul juga berkata Malaysia dan China sedang membincangkan kerjasama baharu yang menarik di bawah rangka kerja ‘Two Countries Twin Parks’. 

Katanya kedua-dua negara juga sedang membina kerjasama yang berjaya dalam pembuatan termaju dan kenderaan elektrik, yang akan membuka peluang baharu dalam sektor utama ini.

“Saya menantikan untuk sama-sama mengumumkan rumusan daripada perbincangan mengenai aturan kerjasama baharu ini dalam masa terdekat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata hubungan dua hala Malaysia dan China, dengan kerjasama ekonomi sebagai terasnya sejak setengah abad yang lepas, telah memberikan impak yang signifikan.

“Kita telah menjalin hubungan dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam infrastruktur dan teknologi kereta api, sektor automotif, pembuatan, fintech dan perdagangan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan