EKONOMI > BERITA

DASAR PERMIT IMPORT TERBUKA AKAN WUJUD EKOSISTEM AUTOMOTIF BERDAYA SAING - AHLI EKONOMI

20/06/2024 03:12 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengalu-alukan semua syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak mempunyai pengalaman dalam perdagangan automotif, untuk memohon permit import (AP) Terbuka yang diluluskan untuk mengimport kereta terpakai.

Langkah itu, menurut ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams, akan mewujudkan ekosistem yang lebih tangkas dan berdaya saing serta membantu meningkatkan inovasi dipacu pasaran dan akses kepada model baharu dengan lebih cepat.

Williams berkata kelonggaran itu akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan juga membantu menjadikan kenderaan lebih mampu milik. 

“AP telah menjadi halangan utama kemasukan pasaran selama bertahun-tahun jadi melonggarkan sekatan ini akan membantu membuka sektor automotif dan menjadikannya lebih berdaya saing.

"Ia akan membantu sektor automotif berkembang kerana penyedia tempatan kini cukup kuat untuk bersaing," katanya kepada Bernama. 

Baru-baru ini, MITI mengumumkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi melibatkan diri dalam aktiviti pengimportan dan jualan kenderaan di Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai 2024.

MITI berkata langkah itu selaras dengan usahanya untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

“Syarikat Bumiputera yang ingin memohon AP Terbuka mestilah syarikat sendirian berhad; 100 peratus milik Bumiputera; mempunyai modal berbayar RM1 juta dan telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

“Ini akan membantu syarikat Bumiputera bersaing,” katanya

Menurutnya, walaupun syarikat Bumiputera baharu ada yang tidak pernah terlibat dalam sektor automotif, kepentingan utama perniagaan mereka ialah fungsi jualan, pemasaran dan sokongan selepas jualan.

“Pengeluaran AP adalah untuk mengimport kenderaan sebagai produk buatan sepenuhnya jadi pengalaman dalam automotif tidak begitu penting.Ini pada dasarnya adalah fungsi sokongan jualan, pemasaran dan selepas jualan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan