EKONOMI > BERITA

JOHOR MAHU JALIN KERJASAMA DENGAN SARAWAK BANGUNKAN TBB HIDROGEN

21/06/2024 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Johor berhasrat menjalin kerjasama dengan Sarawak berhubung inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) khususnya menerusi penggunaan teknologi hidrogen.

Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) Datuk Seri Hasni Mohammad berkata delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka melawat Sarawak bagi tujuan itu dalam masa terdekat..

Beliau berkata lawatan itu antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama dan bertukar kepakaran ke arah pembangunan TBB.

"Kita turut mendapat maklum bahawa Sarawak berhasrat mengeksport TBB ke Singapura, jika ia (TBB) menggunakan teknologi hidrogen maka Johor boleh belajar untuk memahami teknologi tersebut.

"Johor juga boleh melihat sama ada kita mempunyai potensi untuk menggunakan hidrogen sebagai antara kaedah bagi pembekalan tenaga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Paragon Globe Berhad (PGB) dan UOB Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif PGB Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Perbankan UOB Malaysia Andy Cheah Shu Kheem.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilapor berkata Sarawak akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar bahan api hidrogen di rantau Asia Tenggara bermula 2023.

Sementara itu, dalam ucapannya Tan berkata PGB merancang untuk membangunkan taman perindustrian hijau pertamanya iaitu PGB @ Tech Park @ Nusajaya di Iskandar Puteri dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM957 juta.

“Fasa pertama mengandungi 88 unit kilang dan dijangka siap pada 2027 dengan GDV dianggarkan RM419.1 juta.

"Fasa kedua pula mengandungi lapan unit kilang dan sebuah asrama dengan 350 bilik bagi menempatkan hingga 5,250 pekerja yang dijangka siap pada 2028 dengan GDV dianggarkan RM537.9 juta,” katanya.

Menurutnya projek terletak di Gerbang Nusajaya itu melibatkan tanah pegangan bebas seluas 46.9 hektar dan bakal menjadi taman perindustrian hijau pertama di Johor yang memperoleh pensijilan Emas Hartanah Hijau. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan