EKONOMI > BERITA

MANFAAT SAKSAMA PERLU DIJAMIN MEMANDANGKAN PERNIAGAAN DENGAN CHINA TERUS BERKEMBANG

21/06/2024 04:21 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China mencatatkan satu lagi pencapaian penting baru-baru ini dengan pemeteraian 11 memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan potensi pelaburan bernilai RM13.2 bilion.

Walaupun inisiatif ekonomi itu mesti direalisasikan menjadi projek praktikal secepat mungkin namun, ahli ekonomi menegaskan bahawa manfaat yang saksama mesti dijamin untuk semua pihak yang berkenaan, terutama sektor swasta domestik.

Timbul juga cadangan supaya perlu ada “kadar perlindungan nasional” untuk vendor tempatan dan ekosistem domestik seperti yang dilaksanakan banyak ekonomi maju.

Pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata Beijing bersedia untuk mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dan Malaysia berkedudukan baik untuk memanfaatkan peluang besar daripada ekonomi China, yang dijangka menjadi ekonomi terbesar dunia.

Beliau mengenal pasti teknologi hijau dan kemampanan, industri agromakanan serta pembuatan sebagai antara beberapa sektor yang boleh diteroka secara lebih mendalam sebagai bidang pertumbuhan baharu yang boleh diusahakan oleh Malaysia dan China dengan lebih erat.

“Malaysia hanya perlu membina kapasiti untuk mengambil bahagian secara bermanfaat,” kata Nungsari yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) kepada Bernama.

Beliau berkata kedinamikan perdagangan global telah melalui peralihan pesat, beralih daripada rejim perdagangan bebas era pasca Perang Dunia Kedua kepada era perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala.

“Malah (kini) Amerika Syarikat (AS) terlibat secara aktif dalam melindungi industri domestiknya dan mengenakan tarif punitif.

“Oleh itu, Malaysia perlu merundingkan lebih banyak perjanjian dua hala dengan rakan dagang utamanya seperti China dan antara negara jiran di rantau ini untuk menjadi lebih bersepadu dari segi ekonomi dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata peningkatan hubungan dua hala boleh memperluas akses pasaran bagi firma tempatan untuk melangkaui pasaran domestik Malaysia yang agak kecil, selain menjadi petanda baik untuk aliran pelaburan.

Hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara bertambah kukuh sejak 2009 dan perdagangan Malaysia dengan China membentuk 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia, bernilai US$98.80 bilion atau RM450.84 bilion.

Perdana Menteri China Li Qiang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, yang turut menandakan lawatan pertama beliau ke negara ini sebagai perdana menteri, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Pada hari kedua lawatan Li, sebanyak 14 MoU telah ditandatangani antara agensi kerajaan, menandakan kerjasama kerajaan kepada kerajaan yang lebih ketat dalam pelbagai bidang.

Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memudahkan pertukaran 11 MoU antara entiti Malaysia dan China dengan pelaburan berpotensi berjumlah RM13.2 bilion.

Malaysia dan China bersetuju untuk melaksanakan satu lagi pusingan program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan, bagi tempoh dari 2024 hingga 2028, bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang sedia ada seperti perdagangan dan pelaburan, pembuatan, infrastruktur pertanian, ekonomi digital, logistik, serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah mencadangkan agar “kadar perlindungan nasional” diperkenalkan untuk melindungi vendor tempatan berkaitan perdagangan dengan China.

“Dari segi persaingan (kecekapan kos), kita tidak dapat bersaing dengan sektor pembuatan di China.

“Jadi, dengan kadar perlindungan nasional, aspek itu memberi kelebihan kepada firma tempatan mengenai faktor pertumbuhan ekonomi dan organisasi atau pengaglomeratan perindustrian. Jika (mereka) tidak boleh menggunakan produk tempatan, sekurang-kurangnya pekerja adalah daripada kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Memetik contoh, beliau berkata AS memanfaatkan peratusan perlindungan kadar nasional, manakala Jerman menggunakan dasar persaingannya untuk melindungi industri tempatan di samping menarik pelabur.

Satu perkara yang dipersetujui oleh Muhammad Ridhuan dan Nungsari ialah pembangunan modal insan dan pendidikan.

Nungsari menegaskan Malaysia berada pada kedudukan tinggi dari segi harga (kedua), infrastruktur asas (ke-10) dan dasar cukai (ke-11), namun, kurang berdaya saing dalam bidang pendidikan (ke-44), perundangan perniagaan (ke-50), dan produktiviti dan kecekapan (ke-53).

“Sekolah dan universiti kita mesti lebih baik (dan) begitu juga dengan birokrasi kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan