EKONOMI > BERITA

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN SOKONG PROJEK PENGEMBANGAN WESTPORTS MALAYSIA 2

22/06/2024 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya projek pengembangan Westports Holdings di Pelabuhan Klang yang dikenali sebagai “Westports Malaysia 2”.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perjanjian konsesi baharu untuk Westports telah diluluskan oleh Kabinet susulan penilaian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan perjanjian itu telah disahkan pada akhir tahun lepas.

Beliau berkata pembesaran itu bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kepada 28 juta TEU.

“Apabila siap, Westports Malaysia 2 akan meningkatkan operasi pelabuhan dengan ketara, menjadikan Pelabuhan Barat (West Port) pelabuhan terbesar negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, M V MTT Bintangor di West Port, Pelabuhan Klang, hari ini,

Loke berkata pengembangan itu penting dalam usaha mengekalkan daya saing Pelabuhan Klang sebagai hab mega di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Westports Eddie Lee berkata sebagai komitmen syarikat itu, berbilion ringgit akan dilaburkan untuk membina terminal baharu di bawah Westports Malaysia 2.

Beliau berkata projek itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian pelabuhan sebaik sahaja semua terminal daripada Terminal Kontena 10 hingga Terminal Kontena 17 siap kelak,

Lee berkata projek pengembangan itu dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 6,000 pekerjaan baharu dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan sekitar, khususnya Pulau Indah dan Klang.

"Ini menunjukkan komitmen Westports untuk menyumbang kepada kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan telah memberikan konsesi kepada pengendali dan mereka bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf yang diperlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan