EKONOMI > BERITA

KERAJAAN JOHOR MOHON PEWUJUDAN MAJLIS PEMBANGUNAN BAKAT JOHOR

24/06/2024 08:08 PM

JOHOR BAHRU, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan Johor memohon agar satu majlis pembangunan bakat dapat diwujudkan di negeri itu, bagi memastikan tenaga kerja yang mencukupi bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penubuhan majlis berkenaan, akan dapat memastikan semua agensi terlibat, sama ada di peringkat pusat atau negeri berkolaborasi dengan baik di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu adalah bagi memudahkan urusan dilaksanakan selain memastikan bakat yang mencukupi di Johor.

“Kita mencadangkan supaya adanya satu Johor majlis pembangunan bakat yang dapat ditubuhkan dan dianggotai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, dan kita mencadangkan biarlah Kementerian Sumber Manusia menjadi sekretariat untuk jawatankuasa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata JS-SEZ yang bakal dimeterai tidak lama lagi, akan menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi negeri Johor dan mampu mencipta lebih 100,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata penubuhan majlis berkenaan, mampu melonjakkan Johor sebagai enjin ekonomi yang baharu dan kuasa ekonomi terpenting di negara ini, selepas Kuala Lumpur.

NTW 2024 yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini hingga 30 Jun, merupakan minggu kesedaran latihan besar-besaran dengan penganjuran pelbagai acara dan aktiviti latihan secara percuma.

Program berkenaan menawarkan lebih daripada 25,000 kursus percuma kepada seluruh rakyat Malaysia dengan sasaran sebanyak 200,000 pendaftaran.

Human Resource Development Corporation (HRD Corp), iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia bersama rakan kongsinya, akan menyediakan hampir 700 program latihan termasuk pelbagai aktiviti pembelajaran dan pembangunan kepada penduduk setempat, sepanjang program tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan