EKONOMI > BERITA

INVEST SELANGOR SASAR POTENSI NILAI TRANSAKSI RM7 BILION PADA SIBS 2024

25/06/2024 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Invest Selangor Bhd menyasarkan potensi nilai transaksi sebanyak RM7 bilion dan menjangkakan lebih 60,000 pelawat dari 80 negara pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan kejayaan cemerlang pada tahun lepas yang mencatatkan nilai transaksi sebanyak RM6.12 bilion dan menarik 57,249 pengunjung.

"Buat pertama kalinya SIBS 2024 akan distrukturkan kepada dua siri yang dinamik, iaitu Siri Satu dan Dua, maka kami menjangkakan lebih ramai peserta pameran dan bilangan pelawat yang lebih tinggi.

"Kami juga percaya potensi nilai transaksi akan meningkat dengan kami melihat ke arah pertumbuhan ekonomi masa depan di Malaysia," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan SIBS 2024.

SIBS ialah acara perniagaan tahunan yang diterajui oleh kerajaan negeri Selangor dan dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd.

Ng berkata SIBS 2024 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), akan menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk cerapan industri, libat urus dan rangkaian antarabangsa.

Katanya Siri Satu yang diadakan dari 25-27 Julai, akan memfokuskan kepada tema pelaburan melalui dua acara utama, iaitu Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) dan Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK).

Sementara itu, Siri Dua yang akan diadakan pada 16-19 Okt, akan mendalami sektor-sektor tertentu dengan tiga acara utama, iaitu Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) (SIE F&B).

Dalam ucapannya, Ng berkata SABC ialah forum pelaburan serantau utama, yang mana speaker akan membincangkan cabaran dan peluang dalam konteks rantau Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan global.

SPARK pula akan menampilkan pemain dan pembekal ekosistem taman perindustrian utama dari rantau ini, dengan penyertaan daripada ekosistem taman perindustrian dalam kalangan majoriti negara anggota Asean.

Beliau menambah SDEC akan menumpukan pada tema penerokaan inovasi kecerdasan buatan (AI) dalam mobiliti, penjagaan kesihatan dan pendidikan, manakala SLC akan menampilkan persidangan dan ekspo mengenai Sektor Sains Hayat.

Selain itu, Ng berkata Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor atau SELHAC 2024 akan diadakan sempena SIE (F&B) 2024.

Ia akan menampilkan Program Pembeli Pasar Raya yang membolehkan pasar raya dan pasar raya besar yang mengambil bahagian untuk menghantar peserta pameran SIE (F&B) ke pasar raya mereka.

Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah, pihaknya menjangkakan SELHAC 2024 meraih lebih 60 peratus penembusan pasaran, daripada 150 syarikat yang dijangka mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan pada acara itu.

Tahun ini ia akan memberi tumpuan kepada tiga bidang penting, iaitu mempercepatkan pensijilan halal untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengoptimuman logistik rantaian bekalan halal dan mengguna pakai inovasi digital halal.

SELHAC 2024 akan menampilkan lebih 80 peserta pameran dalam sektor halal, termasuk pelancongan, rantaian bekalan logistik, makanan dan minuman serta farmaseutikal dan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan