EKONOMI > BERITA

DIVIDEN TAHUNAN GAMUDA LONJAK KEPADA 16 SEN, TANDA PROSPEK PERTUMBUHAN KUKUH

25/06/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Dividen tahunan Gamuda Bhd melonjak 33 peratus kepada 16 sen daripada 12 sen sebelum ini, mencerminkan keyakinan terhadap prospeknya yang teguh dan potensi pertumbuhan mampan.

Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu membuktikan daya tahan, disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan dalam tangan yang besar berjumlah RM24 bilion dan jualan hartanah belum dibil bernilai RM6.7 bilion.

“Syarikat mengekalkan lembaran imbangan yang positif dengan tahap kadar hutang bersih yang baik pada 35 peratus, jauh di bawah had 70 peratus yang ditetapkan sendiri,” menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Selasa.

Bagi suku berakhir 30 April, 2024, Gamuda melaporkan lonjakan perolehan sebanyak 82 peratus kepada RM3.8 bilion, berbanding suku sama tahun lepas, manakala keuntungan bersih meningkat enam peratus kepada RM236 juta.

Perolehan dan keuntungan bersih Gamuda Land masing-masing menokok 47 peratus dan 31 peratus, dipacu oleh pendapatan dan margin kukuh daripada projek domestik.

“Perolehan dari luar negara kini menyumbang sehingga 77 peratus daripada jumlah perolehan syarikat, naik daripada 52 peratus, manakala keuntungan bersih keseluruhan syarikat turut melonjak kepada 68 peratus daripada 48 peratus,” tambahnya.

Anak syarikat milik penuh Gamuda, Gamuda Engineering Sdn Bhd, menyaksikan beberapa projek di Australia memacu pertumbuhan pendapatan luar negara dengan ketara, perolehan dan keuntungan bersih meningkat tiga kali.

Pertumbuhan luar negara itu mengimbangi penurunan sementara pendapatan domestik secara berkesan, yang dikekang oleh kelulusan kawal selia bagi beberapa projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan