EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN ALIRAN MENURUN SUSULAN KEKURANGAN PEMANGKIN

25/06/2024 07:57 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya bagi sesi dagangan ketujuh berturut-turut hari ini berikutan kekurangan pemangkin, menongkah arus berbanding pasaran serantau yang kebanyakannya ditutup tinggi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.28 mata atau 0.27 peratus kepada 1,585.38 daripada paras penutup 1,589.66 pada Isnin. Indeks penunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.50 mata kepada 1,589.71 dan bergerak antara paras 1,582.35 dam 1,594.71 sepanjang sesi dagangan. 

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 838 berbanding 316, dengan 442 kaunter tidak berubah, 822 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.23 bilion unit bernilai RM3.70 bilion daripada 5.01 bilion unit bernilai RM3.78 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kekal pada fasa penstabilan apabila sentimen pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin belian. 

“Bagi indeks serantau, kebanyakan pasaran ditutup lebih tinggi berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah. Pasaran di Hong Kong kembali stabil selepas tiga hari mencatatkan penurunan mendadak apabila menteri-menteri China dan Eropah memulakan dialog mengenai tarif import untuk kenderaan elektrik dari China.

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI kekal tidak berubah meskipun terdapat beberapa percubaan untuk meningkatkan kembali indeks,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Thong berkata indeks itu dijangka mencatatkan sedikit kenaikan berikutan harga pasaran yang rendah dan menjangka ia berlegar dalam jajaran 1,580 hingga 1,600 bagi tempoh berbaki minggu ini.

Di pasaran serantau Nikkei 225 Jepun naik 0.72 peratus kepada 39,084.85, Hang Seng Hong Kong meningkat 0.45 peratus kepada 18,109.20 dan Indeks Strait Times Singapura menokok 0.28 peratus kepada 3,323.35. Kospi Korea Selatan menambah 0.51 peratus kepada 2,778.87.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama kekal stabil hari ini apabila para pelabur terus membuat penyelarasan semula susulan perkembangan terkini seperti penurunan saham NVIDIA serta penyasaran subsidi diesel di Malaysia, data inflasi terbaharu negara dan jualan asing yang berterusan di bursa tempatan.

“Kami optimis selepas fasa penstabilan singkat, KLCI akan kembali semula ke paras 1,600 hingga 1,610. Pandangan ini disokong oleh Indeks Peneraju (LI) yang dikeluarkan petang ini, yang menunjukkan LI Malaysia meningkat 4.3 peratus pada April 2024, yang mana merupakan kenaikan bulan kelima berturut-turut serta dasar proaktif yang bertujuan untuk menarik pelaburan langsung asing dengan nilai tambah yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.91 manakala TNB melonjak 28 sen kepada RM14. Bagaimanapun Public Bank turun tiga sen kepada RM4, IHH Healthcare susut dua sen kepada RM6.28 dan CIMB Group tidak berubah pada RM6.68.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Ingenieur Gudang tidak berubah pada 6.5 sen, JCY International susut lapan sen kepada 69.5 sen, YGL Convergence menokok enam sen kepada 24.5 sen manakala SNS Network berkurangan 7.5 sen kepada 72 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 35.67 mata kepada 12,158.37, Indeks FBMT 100 turun 21.94 mata kepada 11,749.68 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 19.23 mata kepada 12,525.91. Indeks FBM 70 berkurangan 2.93 mata kepada 17,719.44 dan Indeks FBM ACE susut 92.88 mata kepada 5,621.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.89 mata kepada 17,353.52, Indeks Perladangan susut 16.40 mata kepada 7,008.12, tetapi Indeks Tenaga meningkat 1.39 mata kepada 953.53. 

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.31 mata kepada 196.14.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.65 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM3.31 bilion. 

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.58 bilion unit bernilai RM204.44 juta berbanding 1.25 bilion unit bernilai RM160.70 juta sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 993.15 juta saham bernilai RM321.7 juta daripada 918.10 juta saham bernilai RM305.71 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 362.12 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (734.38 juta), pembinaan (228.1 juta); teknologi (438.67 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (98.13 juta); hartanah (300.33 juta), perladangan (20.26 juta), REITs (11.04 juta), dana tertutup (116,100), tenaga (187.81 juta); penjagaan kesihatan (59.63 juta); telekomunikasi dan media (43.76 juta); pengangkutan dan logistik (61.31 juta); utiliti (107.54 juta); dan amanah perniagaan (183,300).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan