EKONOMI > BERITA

ENERTEC ASIA 2024 GALAKKAN PENGGUNAAN TENAGA SECARA MAMPAN PADA MASA DEPAN

26/06/2024 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- ENERtec Asia 2024, persidangan tiga hari yang bermula hari ini bermatlamat untuk memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan bagi menangani peningkatan pencemaran udara dan perubahan iklim disebabkan penggunaan bahan api fosil untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini.

Pengerusi ENERtec Asia Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata peserta berpeluang mendapatkan pandangan yang boleh diambil tindakan, meneroka inovasi termaju dan menjalin perkongsian berharga untuk mendorong organisasi mereka ke arah masa depan rendah karbon.

"Dengan lebih 300 pempamer mempamerkan penyelesaian tercanggih dalam tenaga boleh baharu, teknologi bersih, kecekapan tenaga, dan mobiliti elektrik, ini adalah acara sebenar berkaitan inovasi dan kemajuan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian ENERtec Asia 2024.

ENERtec Asia dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia Sdn Bhd, dihoskan bersama oleh Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia dan dengan kerjasama Majlis Industri Tenaga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Hazland Abang Hipni dalam ucapannya berkata ENERtec Asia menyediakan platform komprehensif untuk menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pihak berkepentingan dalam mencapai matlamat landskap tenaga yang mampan dan selamat.

Bagi menyokong komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Paris, Hazland berkata kerajaan negeri Sarawak sedang giat berusaha untuk mengurangkan 45 peratus pelepasan gas rumah hijau berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

“Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak menerima matlamat kerajaan untuk mencapai 31 peratus tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti terpasang kebangsaan menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

"Kami sedang melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif untuk memenuhi sasaran ini termasuk memperluaskan projek solar berskala besar, menggalakkan penjanaan tenaga biojisim dan biogas, membangunkan kapasiti hidroelektrik baharu dan meneroka teknologi baru muncul seperti tenaga angin dan lautan," katanya.

Beliau berkata kementerian melaksanakan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara seiring dengan fokus kerajaan terhadap kecekapan tenaga.

“Pelan ini bertujuan mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak lapan peratus merentasi sektor komersial, perindustrian dan domestik menjelang 2025.

“Kami bekerjasama rapat dengan kementerian lain untuk mencapai sasaran Dasar Automotif Nasional 2020 sebanyak 15 peratus jumlah volum industri bagi kenderaan elektrik menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan