EKONOMI > BERITA

CO-OPBANK PERKENAL SKIM PEMBIAYAAN PERNIAGAAN KECIL BANTU USAHAWAN DALAM SEKTOR BERPOTENSI TINGGI

26/06/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Co-opbank Pertama (CBP) memperkenalkan Skim Pembiayaan Perniagaan Kecil (SBF) untuk membantu usahawan dalam semua bidang ekonomi terutamanya sektor ekonomi yang berpotensi tinggi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata menerusi skim ini, CBP menawarkan kemudahan pembiayaan minimum RM5,000 dan maksimum sehingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.

“Jenis kemudahan yang ditawarkan di bawah SBF ialah keperluan perbelanjaan modal kerja, modal pusingan, pembelian aset, mesin, peralatan dan pengubahsuaian premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya skim yang diperkenalkan sejak 12 Jun lepas, terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur dari 21 hingga 65 tahun.

“Pemohon mestilah menjalankan perniagaan yang patuh syariah dan berdaya saing,” katanya. 

Selain itu, katanya perniagaan yang dijalankan perlu beroperasi sekurang-kurangnya selama dua tahun dan tidak melebihi 30 kilometer radius dari mana-mana cawangan CBP.

Beliau berkata pengenalan SBF ini juga merupakan antara langkah CBP untuk meluaskan lagi capaian sasaran CBP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan