EKONOMI > BERITA

QNET SASAR PENINGKATAN 25 PERATUS DALAM JUALAN PRODUK KESIHATAN TAHUN INI

03/07/2024 08:25 AM

PETALING JAYA, 2 Julai (Bernama) -- QNET, peneraju global dalam jualan langsung bagi produk berasaskan kesejahteraan dan gaya hidup menyasarkan 25 peratus peningkatan dalam jualan produk kesihatannya tahun ini.

Ketua Pegawai Pemasaran QNET Trevor Kuna berkata antara produk kesihatan ia fokus adalah EDG3 Plus yang menggunakan formula berkhasiat terutamanya kunyit berkualiti tinggi.

“Kami menyasarkan peningkatan 25 peratus dalam jualan produk ini. Ia dikeluarkan pada 2016 tetapi kini ia telah ditambah baik dengan nutrien tambahan.

"EDG3 Plus ialah produk pemakanan yang direka untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan, kaya dengan vitamin dan mineral penting, menyokong tahap tenaga, meningkatkan fungsi imun menerusi Tumacin, Vitamin D dan asid amino Glutathione," katanya ketika ditemui oleh media di sini hari ini.

Beliau berkata Tumacin berasal daripada kunyit digunakan dalam kedua-dua Ayurveda dan Perubatan Tradisional Cina untuk masalah kulit, masalah pernafasan, melegakan sakit sendi dan pencernaan.

Menurutnya, produk dalam bentuk sachet itu menggalakkan kesejahteraan secara keseluruhan, membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari dan menyokong sistem imun yang sihat.

Selain itu, beliau berkata QNET juga cuba meningkatkan jualan produk lain seperti Kenta, makanan tambahan kesihatan berasaskan diet tradisional Jepun Okinawa berasal daripada natto (kacang soya yang ditapai), miso (pes soya ditapai), satsumaimo (ubi Jepun) dan mochi (nasi manis yang ditapai).

Kuna berkata kajian sains mendapati makanan ruji diet Okinawa ini boleh mencetuskan tindak balas fizikal yang positif untuk membantu pengeluaran hormon pertumbuhan manusia (HGH) yang membantu mengekalkan, membina dan membaiki tisu yang sihat di otak dan organ lain.

“Ia juga kaya dengan bahan semula jadi, menyokong kesihatan secara keseluruhan dan membantu memanjangkan usia serta menyokong penuaan sihat, meningkatkan tahap tenaga dan meningkatkan kesejahteraan,” katanya.

QNET berpangkalan di Hong Kong adalah antara syarikat jualan langsung berasaskan e-dagang terkemuka di Asia, menawarkan rangkaian luas produk kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup yang membantu memperkasakan usahawan di lebih 100 negara di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan