EKONOMI > BERITA

GO HUB CAPITAL DISENARAI DI PASARAN ACE, MAHU PERLUAS JEJAK DI MALAYSIA

03/07/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan, Go Hub Capital Bhd menumpukan usaha untuk memperluas jejaknya dalam pasaran domestik susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tan Cherng Thong berkata syarikat itu pada masa ini terbabit dalam satu projek utama di Sabah.

“Fokus utama kami (susulan penyenaraian di Pasaran ACE) adalah termasuk memperluas jejak geografi, khususnya di pasaran domestik yang melibatkan usaha pemasangan sistem operasi terminal (TOS) di terminal bas di Sabah yang telah beroperasi sejak November 2023. 

“Kami juga merancang untuk melaksanakan penyelesaian IT pengangkutan di lapan terminal feri di bawah inisiatif pendigitalan Sabah dengan pelaksanaan sepenuhnya dijadual menjelang Mac 2025,” katanya pada sidang media secara maya sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini, hari ini.

Terdahulu dalam kenyataannya, syarikat itu menyasarkan penyenaraian itu dapat mengumpulkan sejumlah kira-kira RM37.51 juta.

Ini termasuk masing-masing sebanyak RM24.71 juta bagi tujuan pengembangan perniagaan, RM4 juta bagi bayaran balik pinjaman, RM4.8 juta bagi tujuan modal kerja dan RM4 juta untuk menampung kos penyenaraian berkenaan.

Tan berkata sejumlah RM10.10 juta akan dimanfaatkan bagi memacu aspek tenaga kerja syarikat yang menjadi sebahagian daripada usaha pengembangan perniagaannya.

“Usaha pemasaran akan turut dipertingkat untuk melibatkan penyertaan dalam pameran-pameran antarabangsa seperti Rail Solutions Asia dan InnoTrans yang membabitkan peruntukan RM1 juta bagi aktiviti-aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pengambilalihan Star Central Office Tower serta sebuah pusat bersepadu yang bakal diwujudkan di Lembah Klang, turut menjadi sebahagian daripada inisiatif strategik syarikat untuk mengembangkan lagi operasi.

Menyentuh prospek, Tan berkata syarikat juga yakin dengan prospek penyelesaian IT dalam sektor pengangkutan Malaysia berikutan pertumbuhan konsisten dari segi jumlah penumpang yang menekankan peningkatan permintaan terhadap sistem pengangkutan Go Hub Capital.

“Prestasi syarikat yang kukuh itu dibuktikan menerusi kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 55.75 peratus dalam pendapatan berulangan, sekali gus menyerlahkan keupayaan untuk memenuhi penyelesaian IT yang inovatif dan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, kemunculan sulung di Pasaran ACE menyaksikan kaunter saham syarikat itu mencatat premium sebanyak 45 sen atau melonjak 128.57 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 35 sen.

Pada 5 petang, harga saham Go Hub Capital melonjak sebanyak 60 sen kepada 95 sen atau 171.43 peratus daripada harga IPO dengan 142.9 juta saham saling berpindah tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan