EKONOMI > BERITA

KERAJAAN SEDANG BERUNDING DENGAN 12 SYARIKAT MODAL TEROKA UNTUK BEROPERASI DI MALAYSIA

05/07/2024 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti sedang dalam proses rundingan bersama 12 syarikat modal teroka untuk membuka ibu pejabat dan beroperasi di Malaysia.

Menurut Kementerian Ekonomi, 12 syarikat tersebut mempunyai anggaran nilai asset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah US$ 28.64 bilion (US$1 = RM4.70) .

Mereka telah menandatangani Surat Niat (LOI) untuk membuka ibu pejabat dan beroperasi di Malaysia ketika Persidangan KL20 yang diadakan pada 22 hingga 23 April lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Jumlah dana yang dijangka berjaya di bawa masuk ke Malaysia akan dapat dikenal pasti setelah sesi rundingan bersama 12 syarikat modal teroka ini dimuktamadkan,” Kementerian Ekonomi berkata dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Ekonomi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang ingin tahu jumlah dana yang berjaya masuk sejak pelancaran KL20.

Persidangan KL20 telah menyaksikan pemeteraian 25 LOI melibatkan Dana Kekayaan Kedaulatan, pemula niaga, syarikat modal teroka serta syarikat berteknologi tinggi yang akan menjadi titik permulaan bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula secara komprehensif.

Kata kementerian itu lagi, pengoperasian syarikat-syarikat modal teroka yang terlibat di Malaysia dijangka dapat menarik lebih ramai pelabur termasuk pemain ekosistem pemula niaga dan modal teroka asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ASEAN.

Kehadiran syarikat-syarikat modal teroka akan dapat merealisasikan visi KL20 untuk meletakkan Malaysia di tangga 20 teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan