EKONOMI > BERITA

WAKIL TETAP MALAYSIA KE WTO DILANTIK PENGERUSI PERDAGANGAN DALAM MAJLIS PERKHIDMATAN

05/07/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) --  Duta dan Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Syahril Syazli Ghazali telah dilantik sebagai pengerusi baharu bagi Majlis Perdagangan Dalam Perkhidmatan (CTS) WTO dalam mesyuarat yang diadakan pada 4 Julai 2024.

Sebelum mesyuarat itu, Pengerusi Majlis Agung WTO Petter Olberg (Duta Norway) menerusi kenyataannya bertarikh 31 Mei 2024, mengesahkan bahawa 164 ahli WTO mencapai kata sepakat untuk menerima pencalonan Syahril sebagai pengerusi CTS bagi tempoh 2024-2025 .

Sektor perkhidmatan adalah sektor yang paling pesat berkembang dalam ekonomi global hari ini dan banyak negara sedang berusaha ke arah memasukkan dasar berkaitan ke dalam pelan perdagangan masing-masing, kata Syahril.

“Sehubungan itu, penting bagi ahli WTO memastikan rangka kerja kawal selia yang berkaitan seperti ditetapkan dalam Perjanjian Am mengenai Perdagangan Perkhidmatan (GATS) kekal telus, boleh dijangka dan cekap.

“Menjelang Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-14, saya meminta semua ahli untuk bertukar-tukar pandangan bagi mengenal pasti dan mengutamakan 'topik seimbang' untuk sesi bertema dan seminar yang akan datang, berkongsi pengalaman di negara masing-masing serta amalan kawal selia yang baik bagi manfaat orang lain, ” katanya dalam ucapan sulungnya sebagai pengerusi CTS.

Teks ucapan beliau disediakan kepada Bernama.

CTS ialah salah satu badan subsidiari peringkat 1 WTO yang menyelia pelaksanaan GATS dan melaporkan terus kepada Majlis Umum WTO.

GATS menyediakan rangka kerja undang-undang untuk menangani masalah kepada perdagangan dan pelaburan dalam perkhidmatan.

Ia termasuk komitmen khusus oleh ahli WTO untuk menyekat penggunaan halangan tersebut dan menyediakan forum untuk rundingan lanjut untuk membuka dan memudahkan pasaran perkhidmatan.

Komitmen tersebut terkandung dalam jadual diberi kepada ahli sama seperti jadual ahli untuk tarif.

CTS juga menyelia kerja empat badan subsidiari iaitu Jawatankuasa Perdagangan dalam Perkhidmatan Kewangan (CTFS), Jawatankuasa Komitmen Khusus (CSC), Kumpulan Kerja mengenai Peraturan Dalam Negeri (WPDR) dan Kumpulan Kerja mengenai Peraturan GATS (WPGR).

Pelantikan Syahril menandakan kepimpinan Malaysia yang mampu untuk menyelaras dan memudahkan kerja penting berkaitan Perdagangan dalam Perkhidmatan dan boleh dianggap sebagai pengiktirafan sumbangan konstruktif Malaysia kepada WTO dan sistem perdagangan pelbagai hala oleh keahlian.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan