EKONOMI > BERITA

TAKAFUL IKHLAS DEKATI KOMUNITI MENERUSI PROGRAM IKHLAS ACTIVE ZONE

05/07/2024 07:59 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS) mengambil inisiatif bersemuka dengan komuniti menerusi program IKHLAS Active Zone untuk memberi pendedahan dan mengetahui keperluan orang ramai mengenai perlindungan takaful bagi memastikan setiap individu menerima manfaat sewajarnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata sebagai pengendali takaful, Takaful IKHLAS bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian takaful yang berkualiti dan memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

“Jadi, untuk memahami keperluan orang ramai, penting untuk kami mencari peluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan takaful serta konsep perlindungan takaful.

“Kita mahu masyarakat peka dengan kepentingan takaful dalam kehidupan harian kerana mereka tidak boleh memandang remeh terhadap risiko yang boleh berlaku pada diri sendiri dan keluarga. Selain memberi ketenangan fikiran, perlindungan takaful juga dapat membantu meringankan beban kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya kepada Bernama.

Program selama empat hari sehingga 8 Julai bertemakan gaya hidup sihat dan aktif itu juga bertujuan memastikan masyarakat lebih memahami jenis perlindungan yang disediakan Takaful IKHLAS.

Orang ramai akan menerima bimbingan dan penjelasan mendalam daripada perunding takaful mengenai produk takaful yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan mereka semasa program itu.

Justeru, Muhammad Fikri yakin menerusi penjelasan dan bimbingan perunding takaful, usaha itu dapat mendorong lebih ramai individu untuk mempertimbangkan pelindungan takaful sebagai langkah awal yang penting dalam melindungi diri dan keluarga.

Selain mendekatkan masyarakat kepada perkhidmatan dan penyelesaian takaful, program IKHLAS Active Zone turut mengetengahkan pelbagai aktiviti kecergasan yang interaktif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat (IKHLAS eFootball League), pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna serta penampilan istimewa Didi & Friends serta pempengaruh gaya hidup sihat Kevin Zahri.

Mengulas mengenai ejen takaful, Muhammad Fikri berkata orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan menyertai Takaful IKHLAS sebagai perunding semasa program itu.

“Perunding Takaful IKHLAS semuanya terlatih dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan kami. Kami berusaha mengubah tanggapan masyarakat terhadap perunding takaful, agar tidak perlu takut untuk mendekati mereka kerana perlindungan takaful adalah perkara yang sangat penting pada masa kini.

“Jadi, kami konsisten dalam inisiatif untuk menambah bilangan perunding supaya usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai produk perlindungan dan simpanan dapat diketengahkan secara meluas,” jelasnya.

Beliau berkata Takaful IKHLAS kini mempunyai 4,000 perunding dan menyasar untuk melatih 1,200 perunding lagi bagi tahun ini.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut dan melanggan produk Takaful IKHLAS boleh mendapatkan maklumat melalui wakil perunding Takaful IKHLAS dan cawangan Takaful IKHLAS di seluruh negara atau secara atas talian di laman web rasmi Takaful IKHLAS iaitu www.takaful-ikhlas.com.my

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan