EKONOMI > BERITA

LKAN: TINDAKAN SEWAJARNYA TELAH DIAMBIL BAGI SELESAIKAN KERUGIAN MARA INC

05/07/2024 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk aspek perundangan bagi menyelesaikan kerugian terkumpul berjumlah RM286.30 juta seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semalam. 

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azhar Abdul Manaf berkata kerugian terkumpul sejak 2012 hingga 2022 itu sebahagiannya adalah melibatkan urusan pembelian aset di luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014.

Antara tindakan yang diambil ialah pelan rasionalisasi pemulihan MARA Inc yang diluluskan Majlis MARA pada September 2015 bagi memastikan nilai aset meningkat tahun demi tahun serta memperkasakan aspek tadbir urus syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul.

"Pelaksanaan pelan ini merangkumi pelunasan hutang serta rasionalisasi operasi aset MARA Inc di luar negara yang kini telah mula menampakkan hasil yang mana aset tersebut kini telah bebas daripada sebarang hutang dengan pihak luar.

"Namun, pada 2020 dan 2021, pandemik COVID-19 telah melanda dan menjejaskan prestasi aset MARA Inc. Nilai aset tersebut jatuh mendadak dan menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul syarikat," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata prestasi aset MARA Inc semakin baik bermula 2022 hingga bulan lalu  dengan kadar sewaan meningkat serta kadar penghunian melebihi 90 peratus, sekali gus menjana pulangan yang baik kepada syarikat dan memberi impak positif kepada nilai aset selepas pandemik.

Beliau berkata bagi tempoh tiga tahun sama, nilai pelaburan hartanah MARA Inc juga telah meningkat hampir 30 peratus daripada RM170 juta kepada RM215 juta selain prestasi kewangan juga menunjukkan trend positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun 2022, 2023 dan setakat Mei 2024. 

Ia sekali gus mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau lima peratus dari jumlah kerugian terkumpul pada tahun 2022 dan membolehkan MARA Inc membuat pembayaran dividen kepada MARA Corp.

"Majlis MARA dan pengurusan MARA hari ini amat komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran yang melibatkan wang rakyat yang diamanahkan," katanya.

Pada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat semalam, jumlah kerugian terkumpul ditanggung MARA Inc menurun 3.8 peratus daripada RM297.63 juta pada 2021 kepada RM286.30 juta pada 2022.

Penurunan itu disumbang oleh peningkatan prestasi kewangan kumpulan, apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.67 juta bagi tahun 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan