EKONOMI > BERITA

SAF BERDEPAN CABARAN AKIBAT PERMINTAAN MINYAK SAWIT MENINGKAT

10/09/2024 09:39 PM

Daripada Siti Noor Afera Abu

ROTTERDAM, 10 Sept (Bernama) -- Pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) berdepan cabaran besar berikutan permintaan minyak sawit yang meningkat, dengan kilang pengeluaran baharu berusaha keras untuk mendapatkan stok suapan yang diperlukan.

Editor dan Ketua Pegawai Eksekutif ISTA Mielke GmbH - Oil World, Thomas Mielke berkata pengeluaran minyak sawit sejak 2019 adalah sangat rendah, dengan penurunan hasil purata yang membimbangkan sehingga 2021.

Pada masa ini, sektor tenaga menyumbang 20 peratus daripada penggunaan global bagi 17 minyak dan lemak.

Mielke berkata ketersediaan stok suapan menjadi kebimbangan utama bagi teknologi SAF yang baru muncul.

“Pasaran dijangka berdepan pengeluaran biodiesel dan minyak sayuran terawat hidro (HVO) yang perlahan selain peningkatan SAF, pada tahun akan datang,” katanya pada Persidangan Minyak Sayuran Lestari Ke-3 anjuran Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada Selasa.

Beliau berkata pertumbuhan yang tidak mencukupi bagi bekalan global minyak masak terpakai, lemak, gris, dan stok suapan bukan makanan lain akan menyebabkan pengeluaran biobahan api sangat bergantung kepada minyak sawit, minyak kacang soya dan minyak biji sesawi.

Sehubungan itu, Mielke mempersoalkan berapa lama tempoh pergantungan ini akan berterusan memandangkan jumlah pengeluaran biodiesel telah meningkat hampir dua kali ganda sepanjang dekad lepas.

Pengeluaran biodiesel pada tahun ini dijangka mencapai sekurang-kurangnya 62.7 juta tan berbanding 59.3 juta tan pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan