EKONOMI > BERITA

RAKUTEN TRADE NAIKKAN SASARAN FBM KLCI CECAH 1,780, DAHULUI PRESTASI DI ASEAN

19/09/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Firma pembrokeran Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras 1,780 menjelang akhir tahun ini yang juga peningkatan berbanding unjuran Julai di paras 1,730.

Prospek lebih positif itu didorong oleh kepentingan institusi dan asing yang kukuh, sekali gus turut meletakkan Bursa Malaysia sebagai peneraju prestasi di rantau ASEAN.

Ketua Penyelidikannya Kenny Yee berkata keyakinan itu berdasarkan 16.8 kali nisbah harga-pendapatan mengikut 16 peratus pertumbuhan pendapatan yang diunjurkan bagi 2024.

“Kemasukan dana asing dicatatkan yang lazimnya menyasarkan kelompok 10 syarikat teratas dalam FBM KLCI. Paras 1,780 itu mampu dicapai sejajar dengan pergerakan ke suku akhir yang juga prestasi kedua terbaik selepas suku pertama,” katanya.

Bercakap pada sesi taklimat media mengenai suku keempat yang diadakan secara maya hari ini, Yee berkata FBM KLCI juga telah melonjak sebanyak 14 peratus setakat tahun ini dan diikuti oleh antaranya Vietnam (12 peratus), Singapura (8.0 peratus) dan Filipina (8.0 peratus).

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai membuktikan institusi tempatan menguasai Bursa Malaysia dengan jumlah aliran masuk setakat tahun ini mencecah RM1.15 bilion.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan aliran masuk dana tempatan akan terus ketara dan menjadi sumber utama bagi melonjakkan Bursa Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata kestabilan politik juga menyaksikan proses normalisasi selain pengukuhan nilai ringgit dengan unjuran mencecah julat 4.10-4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.

Faktor lain seperti peningkatan pelaburan langsung asing, projek-projek pembinaan dan kerjasama korporat akan turut menjadi penggerak utama bagi memacu minat berkenaan, katanya.

“Sewaktu tempoh 2018-2022, Malaysia mempunyai empat perdana menteri berbeza dan lihat saja (impaknya) ke atas prestasi KLCI. Saya gembira untuk menyatakan bahawa keadaan kita semakin stabil,” katanya.

Yee turut membangkitkan dana yang dihantar pulang oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ke Malaysia yang menjadi asas kukuh bagi kestabilan pasaran.

“Enam GLIC utama Malaysia secara kolektif menguruskan hampir RM1.9 trilion dengan andaian 10-15 peratus atau RM190-RM285 bilion daripada jumlah itu dilaburkan di luar negara.

“Sehubungan itu, 10 peratus daripada bahagian asing itu berkemungkinan menjana kira-kira RM20-RM30 bilion yang dialirkan semula ke bursa tempatan,” katanya.

Yee berkata pengimbangan semula oleh dana asing dijangka berlaku dan ia memfokuskan secara strategik di rantau ASEAN di tengah-tengah rejim kadar faedah yang semakin mereda, berdasarkan aliran masuk dana asing bersih semasa di Bursa Malaysia sebanyak RM3.5 bilion setakat tahun ini.

Rantau ini turut menjadi tumpuan dalam keadaan "boikot" pasaran ekuiti China dan Hong Kong manakala prestasi Wall Street kekal sebagai punca ketidaktentuan.

“Selain itu, penyusutan dagangan dalam yen Jepun pada Ogos telah menjejaskan lagi keyakinan, menyebabkan penyertaan runcit yang rendah sehingga kini.

"Oleh itu, situasi luaran akan kekal sebagai kebimbangan utama pada masa hadapan," katanya.

Yee berkata aliran keluar bersih daripada segmen runcit di Bursa Malaysia adalah ketara yang berjumlah RM4.7 bilion dan mungkin susulan tawaran awam permulaan (IPO) yang banyak di pasaran baru-baru ini, mengurangkan mudah tunai, terutama daripada ruang saham modal kecil sekunder.

Bagi separuh pertama 2024, sebanyak 21 IPO disenaraikan di Bursa Malaysia, menghasilkan kira-kira RM2.1 bilion.

“Kadar terlebih langganan yang tinggi menyokong tinjauan kami. Sebagai contoh, Steel Hawk Bhd terlebih langganan 277 kali yang menghasilkan RM1 bilion untuk 24.5 juta saham.

“Sehubungan itu, penyertaan runcit menyusut daripada 26 peratus pada Januari kepada 18 peratus pada masa ini,” katanya.

Yee berkata purata jumlah harian setakat tahun ini sebanyak 4.6 bilion telah melepasi purata 10 tahun iaitu kira-kira 3.8 bilion unit, tetapi belum mempengaruhi segmen runcit.

“Bagaimanapun, kami kekal optimis. Sekiranya mudah tunai terus lebih baik menerusi institusi tempatan dan dana asing, ini akhirnya akan mengalir kepada segmen runcit,” katanya.

Mengenai pendapatan korporat, Yee mengunjurkan sektor berkenaan mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 15.4 peratus berbanding 1.5 peratus yang mendatar pada 2023.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan