EKONOMI > BERITA

SESI HAB PENGETAHUAN MIHAS 2024 PAPAR STRATEGI PKS PERTINGKAT EKSPORT

20/09/2024 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Sesi Hab Pengetahuan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 penting dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan membentuk strategi eksport masing-masing.

Usaha itu penting memandangkan PKS sering beroperasi dengan tumpuan domestik serta sumber yang terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sesi Hab Pengetahuan kali ini mengetengahkan perbincangan panel yang interaktif serta dinamik.

“Ini bertujuan menyediakan maklumat bernilai, maklumat pasaran, strategi kemasukan, keperluan penyumberan, peluang, cabaran serta trend yang membentuk pasaran halal global.

“Pada tahun ini, sesi berkenaan disusun untuk memberi tumpuan memacu perdagangan dengan pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, Taiwan, India dan Indonesia selain pasaran sedang pesat membangun termasuk Ireland, Turki, New Zealand dan Kazakhstan," katanya ketika menyampaikan ucaptama sesi itu pada Khamis.

Program itu turut menampilkan empat sesi panel temui pakar dengan perantaranya melibatkan pemimpin dewan perniagaan dan persatuan perdagangan.

Acara sehari itu diadakan bersempena dengan penganjuran MIHAS 2024.

Panel itu membariskan ahli panel, pembeli premium dari negara-negara terpilih serta pengeksport Malaysia yang berjaya bertapak di pasaran antarabangsa.

Sesi interaktif dan dinamik Hab Pengetahuan itu bertujuan berkongsi pandangan mengenai keperluan penyumberan, peluang, cabaran dan trend terkini yang membentuk pasaran halal global.

Salah sorang ahli panel yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Omni Mal Agencies Sdn Bhd Chua Hock Tee, sebuah syarikat Malaysia berkongsi pengalamannya ketika menembusi pasaran Taiwan dengan memperkenalkan buah kurma.

"Agak sukar untuk menjual buah kurma kepada pengguna di Taiwan yang tidak biasa dengan buah tersebut.

“Justeru itu, bagi meningkatkan kehadiran produk itu dalam pasaran, Omni Mal Agencies menyertai pameran utama, bekerjasama dengan pempengaruh tempatan dan menjelaskan manfaat kesihatan daripada sirap kurma rendah glisemik kami," katanya pada sesi itu.

 Chua berkata syarikatnya menyertai pasaran bebas cukai Taiwan bagi mengatasi isu cukai dan turut menekankan kepentingan mendidik pengguna serta membina hubungan yang kukuh untuk berjaya dalam pasaran baharu seperti Taiwan.

Seorang lagi ahli panel, Pinky Lee yang juga pengurus penyumberan CEC International Holdings, sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian kedai runcit 759 Store di Hong Kong, berkata untuk memahami permintaan di bandar raya seperti Hong Kong, adalah lebih baik bermula dengan mengenali demografinya.

“Di Hong Kong, penduduknya amat mementingkan kesihatan. Mereka lebih suka produk yang bebas MSG, gula tambahan, dan hormon dalam protein. Mereka juga menghargai produk yang memudahkan, seperti barang sedia untuk dimakan atau mudah dimakan,” kata Lee.

Beliau tidak melihat cabaran yang ketara untuk produk Malaysia memasuki pasaran Hong Kong berikutan penduduknya yang sudaha lazim dengan makanan Melayu, Cina atau India.

“Untuk membekalkan produk ke Hong Kong, saya akan mencadangkan untuk bermula dengan memperkenalkan perisa asli dan terlaris anda bagi menguji pasaran.

“Apabila terdapat permintaan yang konsisten, melaburlah untuk mengeluarkan perisa baharu, dan pembungkusan yang dikemas kini akan membantu produk anda bertahan dalam pasaran yang kompetitif ini,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan pelaburan untuk pemasaran dalam talian berikutan perniagaan yang dijalankan menerusi kaedah itu dapat dicapai oleh pengguna di seluruh dunia.

MIHAS 2024 dianjurkan oleh MATRADE serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan acara itu diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan