EKONOMI > BERITA

KADAR INFLASI DIJANGKA ANTARA 2.0 PERATUS DAN 2.3 PERATUS PADA 2024

23/09/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bank pelaburan menjangkakan inflasi keseluruhan akan berada dalam julat antara 2.0 peratus dan 2.3 peratus tahun ke tahun (yoy) untuk baki tahun 2024.

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dan MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi mereka untuk tahun ini bergantung kepada perubahan dasar.

RHB IB dalam nota penyelidikan hari ini  berkata ia menjangkakan inflasi keseluruhan akan stabil tahun ini, dengan mengandaikan pelarasan harga bahan api RON95 ditangguhkan sehingga paling awal pada Disember 2024.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan untuk 2024 pada 2.1 peratus, dengan purata inflasi teras 2.0 peratus.

“Tekanan inflasi kekal terkawal selepas pengapungan harga diesel di Semenanjung Malaysia dan pelarasan cukai perkhidmatan, yang membawa kepada kenaikan 1.8 peratus tahun ke tahun dalam inflasi keseluruhan untuk lapan bulan pertama,” katanya.

Pada masa depan, RHB IB berkata trajektori inflasi akan bergantung pada masa dan tahap rasionalisasi subsidi RON95, potensi peningkatan permintaan daripada pengeluaran sebahagian dana pencen dan turun naik harga komoditi dan makanan global.

Sementara itu, MIDF dalam nota penyelidikannya berkata inflasi akan menyederhana kepada 2.3 peratus pada 2024 (2023: 2.5 peratus), memandangkan kenaikan indeks harga pengguna (IHP) yang agak rendah dalam tempoh lapan bulan pada 2024.

"Walaupun kami masih menjangkakan subsidi bersasar untuk RON95 akan dilaksanakan pada suku keempat 2024, inflasi yang stabil setakat ini menunjukkan bahawa tekanan inflasi susulan daripada perubahan dasar adalah terhad

“Sebaliknya, jika kerajaan memutuskan untuk menangguhkan rasionalisasi subsidi untuk RON95, inflasi IHP setahun penuh boleh menjadi -0.2 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran sedia ada kami,” katanya.

Bagaimanapun, CIMB Investment Bank Bhd berkata ia telah menyemak semula unjuran inflasi bagi 2024 kepada 1.9 peratus daripada 2.3 peratus.

"Kami menjangkakan kadar inflasi kekal rendah dalam beberapa bulan akan datang, apabila ringgit mengukuh dan harga minyak mentah global yang sederhana mengurangkan tekanan kos import ke atas perniagaan, sekali gus mengurangkan kesan daripada kesan asas yang lebih rendah," kata CIMB Investment Bank.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan