PELABURAN KRIPTO 'KAKAUE' MEMPERDAYA MANGSA DI FACEBOOK - PENGARAH JSJK

21/06/2024 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Polis menerima lapan laporan kes penipuan pelaburan skim pelaburan kripto tidak wujud dipanggil ‘Kakaue’ yang diiklankan di laman Facebook, membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 22 akaun bank atas nama pelbagai syarikat dan perniagaan sedang disiasat kerana dipercayai digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket di sebalik skim pelaburan kripto itu.

Pada Rabu lepas menurutnya, polis telah menerima laporan oleh seorang peguam berusia 57 tahun mendakwa kerugian berjumlah RM1.3 juta selepas ditipu untuk menyertai skim pelaburan itu.

“Sekitar Disember 2023, mangsa yang tertarik dengan iklan dipaparkan di Facebook kemudiannya telah dihubungi menerusi WhatsApp oleh beberapa individu mendakwa sebagai wakil dari Syarikat Kakaue Exchange (USA).

“Setelah mendaftar melalui laman sesawang www.kakauesr.com, mangsa telah membuat pindahan wang secara berperingkat kepada 14 akaun syarikat berbeza dengan nilai keseluruhan RM1,339,918. Melalui platform tersebut, mangsa dapat melihat wang pelaburannya menjana keuntungan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Bagaimanapun mangsa katanya, mula berasa curiga selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang diperoleh selain mendapati tiga mata wang kripto dibelinya melalui platform tersebut tidak ditawarkan oleh penukar mata wang kripto lain.

Ramli berkata satu lagi laporan polis diterima di Dungun oleh seorang lelaki berusia 53 tahun yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto.

Sekitar Disember 2023, mangsa yang merupakan pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak katanya, tertarik untuk menyertai pelaburan mata wang kripto selepas melihat iklan mengenainya di media sosial dan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.

“Sekitar Mac 2023, mangsa diperkenalkan dengan pelaburan kripto dan membuka akaun pelaburan melalui Baorul Exchange dikatakan berpangkalan di Amerika Syarikat bermula dengan deposit serendah USD$1,500, kemudiannya diminta menambah deposit sehingga USD$200,000 untuk memulakan trading.

“Pada penghujung April 2024, mangsa cuba untuk mengeluarkan keuntungan yang diperoleh namun disekat dengan alasan pelaburannya akan dinaik taraf kepada VIP Bronze User dan diminta membuat bayaran tambahan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Menurut Ramli, mangsa telah memindahkan wang ke pelbagai akaun bank milik syarikat berbeza-beza dengan jumlah keseluruhan wang dipindahkan mencecah RM3.9 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan