TANAH RUNTUH SEKITAR MASILAU DI KAKI GUNUNG KINABALU, SITUASI TERKAWAL

24/06/2024 07:04 PM

RANAU, 24 Jun (Bernama) -- Pemantauan di kawasan kejadian tanah runtuh sekitar Mesilou, Kundasang di kaki Gunung Kinabalu di sini pagi tadi oleh lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, serta tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mendapati, keadaan adalah terkawal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata pemantauan rapi mendapati kejadian runtuhan di kaki Gunung Kinabalu itu berada jauh dari kawasan perumahan dan tidak menjejaskan kampung berhampiran.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini. Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada pukul 4 petang, namun pemantauan situasi akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu BBP Ranau menerima laporan awal daripada Taman-Taman Sabah mengenai kejadian runtuhan yang mula berlaku di kawasan itu pada pukul 1.20 pagi tadi, sebelum disusuli dengan kejadian banjir lumpur pada pukul 5 pagi.

Sementara itu Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim berkata runtuhan yang berlaku melibatkan kawasan di ulu Sungai Mesilau yang terletak dalam Taman Kinabalu, jauh dari laluan pendaki gunung itu.

“Pihak kita sedang memantau perkembangan kejadian, termasuk kesan terhadap aliran air sungai, namun situasi kini adalah terkawal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan