PENGANGGUR DIDAKWA BUNUH IBU KANDUNG

25/06/2024 12:02 PM

IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di sebuah rumah di Taman Restu Jaya, Bercham pada 12 Jun lepas. 

K. S. Sugan, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Siti Nora Sharif, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Dia didakwa membunuh ibunya S. Indra, 60, di sebuah rumah di Taman Restu Jaya, antara 1 pagi hingga 9.30 pagi, 12 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes. 

Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita warga emas itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah dua minggu lepas.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan leher mangsa disebabkan trauma tumpul dan kes diklasifikasi sebagai kes bunuh. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan